'Saya cuba selamatkan mereka tapi saya sendiri hampir lemas'

MELAKA – “Saya cuba selamatkan salah seorang mangsa namun saya juga nyaris lemas disebabkan air pasang.”
Demikian kata Muhammad Haikal Hakimi Abdullah, 18, salah seorang saksi kejadian membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dikhuatiri lemas ketika mandi-manda bersama dua lagi rakan di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini pada petang Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Muhammad Haikal Hakimi berkata, dia baru membeli cendol bersama seorang rakan sebelum seorang wanita berlari ke arah mereka meminta bantuan selepas melihat ketiga-tiga mangsa terkapai-kapai di laut.
“Tanpa berfikir panjang, saya terus berlari ke pantai dan nampak tiga orang berada di tengah laut.
“Dua sudah jauh dibawa arus, seorang lagi hanya kelihatan tangannya timbul. Saya cuba menyelamatkan mereka namun saya sendiri hampir lemas sebelum diselamatkan rakan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, keadaan air pasang dan arus deras menyebabkan suasana menjadi panik, namun seorang mangsa sempat diselamatkan oleh seorang lelaki lain.

“Malangnya, seorang lagi mangsa gagal ditemui kerana hanya kelihatan tangannya sebelum hilang dibawa arus,” katanya sebak.
Sehingga jam 9.15 malam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan pasukan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta nelayan tempatan.
Turut berada di lokasi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi; Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Shahrom Laji.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang dikhuatiri lemas manakala dua lagi terselamat ketika mandi-manda di Pantai Puteri, Tanjung Kling, pada Rabu.
Mohd Shahrom memaklumkan kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 6.30 petang.
Ringkasan AI
- Muhammad Haikal Hakimi Abdullah cuba menyelamatkan kanak-kanak yang nyaris lemas di Pantai Puteri, Melaka
- Dia bersama rakan membeli cendol sebelum diminta tolong oleh seorang wanita
- Muhammad dan rakan hampir lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa
- Seorang mangsa diselamatkan oleh seorang lelaki lain tetapi seorang lagi gagal ditemui
- Operasi mencari dan menyelamat diteruskan oleh pasukan polis, bomba dan sukarelawan lain
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

