Pihak berkepentingan tiada halangan media lapor inkues Zara Qairina

Peguam yang mewakili ibu Zara Qairina ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada Rabu.
Peguam yang mewakili ibu Zara Qairina ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada Rabu.
A
A
A

KOTA KINABALU – Pihak berkepentingan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir tidak mempunyai halangan sekiranya media membuat liputan prosiding ketika saksi kanak-kanak memberi keterangan di Mahkamah Koroner.

Bagaimanapun, keputusan sama ada media dibenarkan atau sebaliknya terletak pada budi bicara mahkamah.

Peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, Rizwandean M Borhan berkata, Hakim Mahkamah Koroner telah mengemukakan pertanyaan itu kepada pihak-pihak berkepentingan, termasuk pasukannya.

“Hakim Mahkamah Koroner bertanya pendapat pihak-pihak berkepentingan jika media membuat liputan walaupun prosiding berlangsung dalam kamera, tetapi media hanya boleh melaporkan apa yang berlaku tanpa mendedahkan identiti.

“Kami tiada bantahan, begitu juga pihak berkepentingan lain. Cuma pihak pegawai pengendali memaklumkan akan mendapatkan arahan terlebih dahulu. Jadi, kita lihat esok sama ada media dibenarkan masuk,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut berhubung tiada bantahan daripada pihak-pihak berkepentingan sebagai tanda ketelusan prosiding, beliau berkata, kes itu sememangnya menarik perhatian awam.

“Orang ramai tertanya-tanya di luar apa yang berlaku. Jadi ini juga alasan hakim koroner menimbulkan isu tersebut,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada media boleh melaporkan perkongsian pasukan peguam mengenai keterangan saksi di mahkamah menerusi sidang akhbar, beliau menjelaskan ia dibenarkan kerana tiada larangan ‘gag order’ dalam inkues berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, sebarang pendedahan identiti saksi yang melibatkan kanak-kanak tidak dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

“Identiti tidak boleh didedahkan dan kami tidak boleh memberikan pendapat, tetapi kami boleh memaklumkan apa yang dikatakan saksi,” katanya.

Sebelum itu, Rizwandean bersama rakan sepasukannya iaitu Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi dan Farrah Nasser mewakili Noraidah Lamat sebagai pihak berkepentingan dalam inkues berkenaan.

Ringkasan AI

  • Pihak berkepentingan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir tidak halang media liput prosiding
  • Keputusan izin kepada media bergantung pada mahkamah
  • Peguam ibu Zara, Rizwandean M Borhan, menyatakan tiada bantahan terhadap liputan media
  • Media dibenarkan melaporkan tanpa dedah identiti saksi kanak-kanak
  • Pendedahan identiti saksi kanak-kanak adalah dilarang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!