Elak langgar biawak punca nahas, MPV terjunam dalam sungai

JERLUN - Tindakan seorang pemandu kereta mengelak seekor biawak yang melintas jalan membawa padah apabila menyebabkan sebuah kenderaan lain terhumban ke dalam sungai dalam kemalangan di Jalan Kampung Tok Mengkula, Sanglang pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam melibatkan sebuah Proton Saga Iswara dipandu seorang juru bina berusia 38 tahun dengan sebuah Toyota Alphard yang dipandu lelaki berusia 36 tahun.
“Hasil siasatan mendapati, pemandu kereta Proton Saga dari arah Alor Setar ke Kuala Sanglang cuba mengelak seekor biawak yang tiba-tiba melintas jalan.
“Kenderaan itu kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Toyota Alphard dari arah berlawanan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Mohd Radzi, akibat perlanggaran itu menyebabkan Toyota Alphard yang dipandu lelaki dari Kuala Sanglang, Perlis terbabas dan terhumban ke dalam sungai sebelum tenggelam.

“Mangsa berjaya diselamatkan orang awam sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk pemeriksaan lanjut selepas mengadu sakit dada dan badan.
“Sementara, pemandu Proton Saga tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan, termasuk bahagian depan kanan Proton Saga yang remuk manakala Toyota Alphard berjaya dinaikkan dari dalam sungai dengan bantuan pihak berkuasa.
“Cuaca pada ketika itu baik dan permukaan jalan raya juga kering. Punca kemalangan disahkan akibat kereta Proton Saga hilang kawalan ketika cuba mengelak haiwan tersebut sehingga memasuki laluan bertentangan dan menyebabkan perlanggaran,” katanya lagi.
Kemalangan tersebut berlaku berdekatan lokasi kejadian mesin padi terjunam ke dalam sungai di Kampung Sanglang, Ayer Hitam pada 6 September, yang meragut nyawa seorang remaja lelaki selepas jentera yang dikendalikan rakannya berusia 19 tahun terlajak sebelum terjunam.
Ringkasan AI
- Pemandu Proton Saga mengelak biawak menyebabkan bertembung dengan Toyota Alphard
- Toyota Alphard terhumban ke dalam sungai dan tenggelam
- Pemandu Toyota Alphard diselamatkan dan dibawa ke hospital, manakala pemandu Proton Saga tidak cedera
- Kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan serius
- Kemalangan disebabkan kehilangan kawalan kereta semasa mengelak biawak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

