Buaya dipercayai sesat dari sungai berhampiran – Perhilitan

Buaya tembaga seberat 100kg berjaya ditangkap pada petang Selasa. Foto kecil: Mohd Zaide
Buaya tembaga seberat 100kg berjaya ditangkap pada petang Selasa. Foto kecil: Mohd Zaide
A
A
A

GEORGE TOWN – Seekor buaya tembaga yang ditemui di Pantai Teluk Bahang pada petang Selasa dipercayai sesat dari sungai berhampiran.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang, Mohd Zaide Mohamed Zin berkata, buaya jantan dewasa itu dianggarkan seberat 100 kilogram (kg) dengan panjang empat meter dari muncung hingga ke ekor.

Menurutnya, berdasarkan saiz, reptilia berkenaan dianggarkan berusia antara 30 hingga 40 tahun.

“Buaya itu dalam keadaan lemah ketika ditangkap, namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ia dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda ke Taman Negara Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut dan pengambilan ukuran sebelum dipindahkan ke Paya Indah Wetlands (PIW), Dengkil, Selangor.

“Ketika proses pemeriksaan, ia tidak melawan dan tidak agresif. Pasukan Perhilitan bertolak ke PIW pada jam 9.30 malam Rabu dan akan melalui tempoh kuarantin selama seminggu,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambah beliau, sekiranya tiada masalah, reptilia tersebut akan dilepaskan ke habitat asal seperti kolam atau kawasan paya berhampiran di bawah kawalan Perhilitan.

Terdahulu, pengunjung dan penduduk sekitar Pantai Teluk Bahang dikejutkan dengan kemunculan buaya sepanjang lebih tiga meter kira-kira jam 3.30 petang selepas orang awam melaporkan kelibat reptilia itu berhampiran sebuah hotel di tepi pantai.

Susulan penemuan mengejutkan itu, orang ramai, nelayan dan pengunjung pantai segera menjauhkan diri dari kawasan terbabit bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, buaya tersebut berjaya ditangkap pada jam 6.15 petang dalam operasi khas membabitkan 20 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Perhilitan serta dibantu nelayan tempatan.

Operasi lebih sejam itu berdepan cabaran apabila percubaan pertama menggunakan bot dan pukat nelayan gagal selepas pukat pecah, menyebabkan reptilia tersebut terlepas semula ke laut.

Namun, dalam percubaan kedua pada jam 6 petang, buaya berkenaan akhirnya berjaya ditangkap dan selamat dibawa ke pantai.

Ringkasan AI

  • Seekor buaya tembaga ditemui sesat dari sungai berhampiran di Pantai Teluk Bahang
  • Buaya jantan dewasa itu berat 100kg dan panjang empat meter
  • Reptilia berkenaan dianggarkan berusia antara 30 hingga 40 tahun
  • Buaya dalam keadaan lemah ketika ditangkap tanpa kecederaan dan dibawa ke Taman Negara Pulau Pinang untuk pemeriksaan
  • Akan ditempatkan di Paya Indah Wetlands, Dengkil, selepas seminggu kuarantin dan jika tiada masalah, dilepaskan ke habitat asal

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!