Pegawai Rela didenda RM25,000 buat tuntutan palsu elaun penugasan

IPOH - Seorang pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Daerah Sungai Siput didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu dua tahun lalu.
Tertuduh, K Rameswaran, 28, didakwa secara tidak jujur menggunakan dokumen sebagai tulen yang diketahui palsu iaitu Borang Tuntutan Elaun Penugasan Kawalan Keselamatan dan Pemantauan Bencana semasa Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 Daerah Sungai Siput (U) dari Oktober 2023 hingga Januari 2024 di Pejabat Rela negeri Perak di sini.
Mengikut pertuduhan, borang tuntutan elaun itu dibuat atas nama lima anggota Rela sedangkan mereka tidak pernah menjalankan tugasan rondaan Monsun Timur Laut, dengan jumlah keseluruhan RM9,408.
Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku bersalah atas kelima-lima pertuduhan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut fakta kes, tertuduh mengaku menulis butiran nama dan tandatangan lima anggota Rela dalam buku Kehadiran Penugasan Anggota, selain menurunkan tandatangan palsu di ruangan ‘dituntut oleh’ dan ‘disahkan oleh’ atas nama penama dalam dokumen tuntutan tersebut sebelum dikemukakan ke Pejabat Rela negeri Perak untuk proses bayaran.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan penjara sebulan sekiranya denda tidak dibayar.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), G Nanthini.
Ringkasan AI
- Seorang pegawai Rela Daerah Sungai Siput didenda RM25,000 atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu
- K Rameswaran menggunakan dokumen palsu untuk elaun penugasan kawalan keselamatan dan pemantauan bencana
- Tuntutan palsu berjumlah RM9,408 dibuat atas nama lima anggota Rela yang tidak menjalankan tugasan rondaan
- Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan
- Tertuduh mengaku bersalah dan hukuman denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan ditetapkan, penjara sebulan jika denda tidak dibayar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

