Penolong Pegawai Penilaian didakwa 24 pertuduhan tuntutan palsu kerja lebih masa PRU15

JOHOR BAHRU – Seorang Penolong Pegawai Penilaian Majlis Daerah Labis didakwa di Mahkamah Sesyen pada Selasa atas 24 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu elaun kerja lebih masa bagi tugasan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berjumlah RM17,548.80, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Fakhrurazie Abd Razak, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Fakhrurazie yang berkhidmat di Bahagian Penilaian dan Pengurusan Harta Majlis Daerah Labis, menggunakan borang tuntutan kerja lebih masa dengan niat memperdaya, iaitu borang tuntutan kerja lebih masa bagi tugasan PRU15 dengan jumlah keseluruhan RM17,548.80.
Kesalahan itu dilakukan atas nama dan butiran lapan individu berbeza tanpa pengetahuan mereka antara Oktober hingga Disember 2022 di Majlis Daerah Labis, Segamat.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Muhd Faizul Kamaro Zaman, memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan itu tidak dibenarkan jamin kecuali dengan kebenaran mahkamah.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, T Vijaya Sandran memohon jaminan RM7,000 atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan isteri yang sedang hamil empat bulan.
“Tertuduh telah berkhidmat selama tujuh tahun di Majlis Daerah Labis, mempunyai alamat tetap yang berdekatan tempat kerja serta memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan, selain dua syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat SPRM Segamat sebulan sekali.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 Oktober depan bagi penyerahan dokumen berkaitan.
Ringkasan AI
- Seorang Penolong Pegawai Penilaian Majlis Daerah Labis didakwa atas 24 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu elaun kerja lebih masa untuk PRU15 berjumlah RM17,548.80
- Muhammad Fakhrurazie Abd Razak mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan
- Tuduhan melibatkan penggunaan borang tuntutan kerja lebih masa dengan jumlah keseluruhan bernilai RM17,548.80 tanpa pengetahuan lapan individu
- Kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000
- Mahkamah membenarkan jamin RM10,000 dengan syarat tertentu termasuk menyerahkan pasport dan melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

