Penduduk Bukit Kapar resah jalan mendap, risiko terputus hubungan

Kesibukan lori keluar masuk di laluan itu setiap hari bukan sahaja menjejaskan keselesaan malah membahayakan keselamatan terutama ibu bapa menghantar anak ke sekolah.

Keadaan bertambah teruk apabila Jalan Iskandar sering dilalui kenderaan berat pada setiap hari.
Keadaan bertambah teruk apabila Jalan Iskandar sering dilalui kenderaan berat pada setiap hari.
A
A
A

KLANG – Kira-kira 18,000 penduduk dan pengguna jalan raya di Bukit Kapar di sini resah berikutan Jalan Iskandar mengalami mendapan teruk sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap risiko terputus hubungan sekiranya kedua-dua laluan utama itu terus mendap.

Masalah yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu itu semakin meruncing apabila salah satu daripada dua lorong terpaksa ditutup selepas struktur jalan tidak lagi selamat digunakan.

Penduduk, Mohd Faizan Saleh, 46, mendakwa keadaan diburukkan lagi apabila laluan tersebut menjadi tumpuan lori berat dari projek industri berhampiran yang keluar masuk setiap hari.

“Sekarang hanya tinggal satu lorong sahaja untuk dilalui kenderaan, malah laluan itu kalau dilihat semakin mendap kerana lori melebihi had muatan sering menggunakan laluan sama.

“Kami terpaksa menanggung kesulitan setiap kali keluar masuk, terutama pada waktu puncak, dan bimbang jika laluan bersebelahan turut mendap hingga menyebabkan ia tidak dapat dilalui semua kenderaan,” katanya ketika ditemui pada Rabu.

Dia yang menetap di Taman Baiduri Zon 24, Bukit Kapar berkata, walaupun jalan itu pernah dibaik pulih sebanyak dua kali tahun ini, kerosakan kembali berulang akibat faktor kenderaan berat.

Mohd Faizan menjelaskan pernah berlaku kemalangan apabila seorang penunggang motosikal terjatuh ke dalam lubang kerana tiada papan tanda amaran yang jelas.

“Masalah ini bukan sahaja menyusahkan, malah membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Lubang mendapan di laluan itu besar sehingga kenderaan terpaksa bergilir-gilir memberi laluan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penduduk, Kamarul Mohamad berkata, kesibukan lori keluar masuk di laluan itu setiap hari bukan sahaja menjejaskan keselesaan, malah membahayakan keselamatan, terutama ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah.

Noor Najhan (depan kanan) dan penduduk menunjukkan keadaan mendapan tanah di Jalan Iskandar di sini.
Noor Najhan (depan kanan) dan penduduk menunjukkan keadaan mendapan tanah di Jalan Iskandar di sini.

“Di sini memang bahaya disebabkan lori terlalu banyak. Pagi tadi, seawal sebelum Subuh pun kenderaan berat sudah mula lalu-lalang.

“Keadaan ini bukan sahaja mengganggu, tetapi turut menjejaskan kesihatan penduduk kerana debu berterbangan,” katanya.

Menurutnya, penduduk kini semakin tidak selesa dan sering menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap situasi itu.

“Kami minta pihak berkuasa segera turun padang membuat pemantauan dan mengambil tindakan agar jalan serta kawasan kampung ini kembali selesa serta selamat didiami,” ujarnya.

Timbalan Pengerusi Kariah Masjid Bukit Kapar, Fahmizan Mustakim berkata, isu keselamatan dan kesihatan penduduk kampung itu sudah lama dibangkitkan, namun masih tiada penyelesaian tuntas daripada pihak berkuasa.

Menurutnya, pembangunan pesat tanpa kawalan menjadi punca kerosakan jalan di kawasan itu hingga membahayakan pengguna setiap hari.

“Isu ini sudah bertahun-tahun berlaku, malah aduan juga sudah dibuat, tetapi seolah-olah tiada tindakan tegas diambil,” jelas beliau.

Fahmizan berkata, penduduk tidak menolak pembangunan di kawasan sekitar, namun pihak berkuasa wajar memantau operasi lori keluar masuk yang menjadi punca utama kerosakan.

“Pembangunan itu sebenarnya bukan pun di dalam kampung kami, tetapi laluan lori yang menggunakan jalan di Kampung Bukit Kapar menyebabkan kerosakan dan membahayakan penduduk,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh menegaskan pihak berkuasa tidak boleh lagi berlengah dalam menangani isu mendapan jalan yang membelenggu penduduk di Bukit Kapar.

Beliau berkata, walaupun pelbagai projek mega seperti hospital, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kawasan industri sedang rancak dilaksanakan, syarat utama memastikan laluan utama dikekalkan dalam keadaan baik dan selamat masih gagal dipatuhi.

Menurut Noor Najhan, pihaknya pernah berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan empat pemaju yang terlibat di kawasan industri terbabit, dengan sebahagian mereka sudah bersetuju berkongsi kos pembaikan jalan.

“Namun saya dimaklumkan ada pemaju yang enggan menanggung kos, dan faktor inilah yang melambatkan proses pembaikan Jalan Iskandar.

“Sepatutnya, mana-mana laluan yang digunakan pemaju menjadi tanggungjawab mereka untuk pastikan ia selamat. Malangnya, sehingga kini ia tidak berlaku dan saya akan membawa perkara ini ke sidang Dewan Negeri pada November nanti sekiranya masalah masih belum diselesaikan,” tambah beliau.

Sementara itu, Jurutera Daerah Klang, Ir Khairul Amir Isahak mengesahkan bahawa Jalan Iskandar yang mengalami mendapan merupakan laluan negeri dan rosak akibat kerap dilalui kenderaan berat.

Beliau berkata, hasil perbincangan bersama empat pemaju utama di kawasan Bukit Kerayong sebelum ini, semua pihak bersetuju untuk menanggung kos pembaikan secara bersama.

“Dua minggu lalu, kita telah memanggil kesemua pemaju terbabit bagi mencari kaedah terbaik termasuk kos dan tanggungjawab setiap pihak.

“Akhirnya mereka bersetuju menubuhkan satu konsortium untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan,” katanya.

Menurutnya, konsortium itu dijadual memulakan kerja pembaikan pada Khamis dengan pemantauan penuh pihak JKR.

“Bagi tujuan keselamatan, kawalan lalu lintas termasuk papan tanda amaran dan kon penghadang akan dipasang sepanjang kerja dijalankan bagi memastikan pengguna jalan raya lebih berhati-hati.

“Kerja-kerja pembaikan dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat hari dan kita berharap selepas ini penyelenggaraan jalan dapat dibuat secara konsisten oleh pemaju yang bertanggungjawab,” ujar beliau.

Ringkasan AI

  • Kira-kira 18,000 penduduk dan pengguna jalan raya di Bukit Kapar resah kerana Jalan Iskandar mengalami mendapan teruk
  • Salah satu dari dua lorong telah ditutup kerana tidak selamat, meningkatkan risiko jika laluan utama itu terus mendap
  • Masalah mendapan diperparah dengan laluan tersebut menjadi tumpuan lori berat dari projek industri berhampiran
  • Penduduk menyuarakan isu keselamatan dan kesihatan disebabkan oleh kerosakan jalan dan kerap dilalui kenderaan berat
  • Pihak berkuasa dan pemaju bersetuju berkongsi kos pembaikan jalan, dengan kerja-kerja pembaikan dijadwalkan bermula segera

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!