Dua pelajar kurung rakan dalam tandas: Pihak pembelaan kemuka representasi

SUNGAI PETANI - Pihak pembelaan mewakili dua pelajar perempuan yang berdepan pertuduhan menyebabkan kecederaan dan mengurung rakan mereka di tandas sekolah Julai lalu akan mengemukakan representasi bagi mengkaji semula pertuduhan tersebut.
Peguam, N Nagaratnam memaklumkan perkara itu kepada Majistret Mohamad Azlan Basri di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Mahkamah dalam prosiding secara tertutup kemudian menetapkan 30 Oktober depan bagi sebutan semula kes berkenaan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dua remaja berusia 13 tahun berkenaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dihadapi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang rakan sebaya pada kira-kira jam 6.40 petang, 14 Julai lalu di sebuah sekolah menengah di daerah ini.
Bagi pertuduhan kedua, mereka juga didakwa dengan sengaja mengurung mangsa sama secara salah di lokasi dan tarikh berkenaan.
Jika sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Md Nor.
Terdahulu, media melaporkan mangsa ditemui dalam tandas sekolah dalam keadaan tangan dan kaki diikat selepas ibunya menyedari anaknya tidak muncul di pagar sekolah.
Mangsa yang berjaya diselamatkan mengalami kecederaan serta trauma akibat kejadian itu.
Ringkasan AI
- Pihak pembelaan mewakili dua pelajar perempuan mengemukakan representasi untuk mengkaji semula pertuduhan kecederaan dan mengurung rakan di tandas sekolah
- Dua remaja 13 tahun didakwa menyebabkan kecederaan dan mengurung rakan sebaya di sekolah menengah pada 14 Julai
- Majistret menetapkan 30 Oktober untuk sebutan semula kes
- Jika sabit kesalahan, remaja boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000
- Mangsa ditemui di tandas sekolah dengan tangan dan kaki diikat, mengalami kecederaan dan trauma
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

