Penunggang maut motosikal terbabas langgar pembahagi jalan

TEMERLOH – Seorang pengusaha syarikat kawalan keselamatan maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar batu pembahagi jalan di hadapan sebuah kuil di Kilometer 8, Jalan Temerloh–Mentakab, di sini, awal pagi Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintenden Marina Hashim, berkata dalam kemalangan kira-kira jam 2.50 pagi itu, mangsa, S Ravichanthiran, 28, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Ninja ZX250 sedang dalam perjalanan menghala ke Mentakab.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang batu di tengah jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Marina berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ringkasan AI
- Seorang pengusaha syarikat kawalan keselamatan maut dalam kemalangan motosikal
- Terbabas melanggar batu pembahagi jalan di Kilometer 8, Jalan Temerloh-Mentakab
- Mangsa, S Ravichanthiran, 28, meninggal dunia di tempat kejadian
- Kemalangan berlaku kira-kira jam 2.50 pagi, S Ravichanthiran menunggang Modenas Ninja ZX250
- Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk bedah siasat, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

