Mara pantau risiko buli MRSM setiap tiga bulan elak krisis

Nik Syuharul Apizo (kanan) sebagai ahli panel pada sesi Forum Astaka Minda ‘Buli: Dimanakah Silapnya’ di MRSM Tumpat pada Isnin. Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID
Nik Syuharul Apizo (kanan) sebagai ahli panel pada sesi Forum Astaka Minda ‘Buli: Dimanakah Silapnya’ di MRSM Tumpat pada Isnin. Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Bahagian Pengurusan Risiko dan Inspektorat Mara melaksanakan pemantauan sistematik ke atas kesemua laporan diterima daripada 57 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara setiap tiga bulan bagi mengesan sebarang tanda awal kejadian buli sebelum bertukar krisis.

Pemantauan berkala merangkumi risiko-risiko lain termasuk masalah disiplin pelajar menjadi benteng utama Mara untuk mengekang gejala buli yang kian kompleks, termasuk melibatkan gangguan emosi, buli siber dan komunikasi berunsur ancaman sekali gus memberi gambaran eksklusif tentang operasi belakang tabir yang jarang didedahkan kepada umum.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko dan Inspektorat Mara, Nik Syuharul Apizo Safien berkata, setiap maklumat yang diterima menerusi Sistem Daftar Risiko Mara (MRRiS) akan melalui proses analisis risiko yang ketat bagi menentukan sama ada kes memerlukan siasatan segera atau boleh ditangani di peringkat sekolah.

“Kami audit semua laporan yang dikategorikan merah atau jingga secara berkala.

“Jika ada elemen ancaman, siasatan serta-merta akan dibuat dan tindakan disiplin atau laporan polis akan diambil tanpa melindungi mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas menjadi ahli panel pada sesi Forum Astaka Minda ‘Buli: Dimanakah Silapnya’ di MRSM Tumpat, di sini pada Isnin.

Ujarnya, MRRiS dilaksanakan secara manual lebih 10 tahun lalu dan diperkemas secara digital melalui dalam talian bermula Januari tahun ini, sekali gus memudahkan aduan dibuat ‘di hujung jari’.

Nik Syuharul Apizo memberitahu, lebih memperkukuhkan langkah itu apabila kerajaan memperkenalkan peruntukan baharu dalam Kanun Keseksaan bagi menangani kes buli, gangguan, penghinaan dan penyalahgunaan maklumat identiti, termasuk yang dilakukan secara dalam talian.

Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 [Akta A1750] memperkenalkan seksyen baharu 507B hingga 507G tersebut membolehkan pelaku dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun, denda, atau kedua-duanya sekali, terutama jika tindakan mereka mendorong mangsa kepada cubaan membunuh diri atau kematian.

“Pelajar Mara sering diingatkan supaya berhati-hati, sekali buli, tiada butang ‘undo’.

Artikel Berkaitan:

“Melalui pindaan ini, undang-undang akan berjalan walaupun hanya gurauan dalam WhatsApp atau komen di media sosial,” tegasnya.

Menurut Nik Syuharul Apizo, keunikan sistem audit risiko Mara juga tidak hanya menunggu laporan rasmi, sebaliknya turut mengambil kira petunjuk tidak formal termasuk aduan kaunselor, maklumat pelajar dan pemerhatian guru bagi mengesan tanda awal seperti perubahan tingkah laku atau prestasi pelajar.

Tambahnya, bentuk buli kini luas merangkumi emosi seperti pengasingan rakan, sindiran berulang atau manipulasi perasaan, manakala pelajar pintar turut dikesan menggunakan kepintaran mereka untuk menekan rakan secara psikologi.

“Kalau ada unsur-unsur buli, segera buat laporan kerana diam hanya menguntungkan pembuli,” katanya.

Ringkasan AI

  • Pemantauan risiko dilaksanakan setiap tiga bulan di semua MRSM untuk mengesan tanda awal buli
  • Pemantauan merangkumi risiko lain termasuk masalah disiplin pelajar
  • Setiap maklumat diterima melalui MRRiS dianalisis untuk menentukan perlunya siasatan
  • Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 memperkenalkan hukuman berat bagi pelaku buli
  • Sistem audit risiko Mara merangkumi petunjuk tidak formal untuk mengesan tanda awal buli

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!