Kebocoran paip gas Kerteh jadi peringatan serius – NIOSH

Laporan Sinar Harian berhubung insiden paip gas bocor di tapak ECRL, polis tutup jalan utama Kerteh-Ranggon
Laporan Sinar Harian berhubung insiden paip gas bocor di tapak ECRL, polis tutup jalan utama Kerteh-Ranggon
A
A
A

SHAH ALAM - Insiden kebocoran paip gas butana di Kerteh, Kemaman perlu dijadikan peringatan serius kepada semua pihak mengenai kepentingan aspek latihan keselamatan, agar tindakan pencegahan kemalangan secara menyeluruh dapat dilaksanakan di tempat kerja.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Chong Chieng Jen, berkata majikan dalam sektor berisiko tinggi seperti petroleum dan gas perlu memastikan pegawai serta kakitangan diberikan latihan mencukupi bagi melaksanakan penilaian risiko secara sistematik, selain mengambil langkah tepat menangani sebarang insiden yang boleh mendatangkan bahaya kepada pekerja dan orang awam.

Menurut beliau, pendekatan Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) perlu dilaksanakan secara konsisten agar situasi bahaya seperti kebocoran gas dapat dikenal pasti lebih awal.

“Melalui HIRARC, punca dan risiko berlakunya kemalangan dapat dinilai dengan tepat agar langkah kawalan boleh dilaksanakan, termasuk menggunakan teknologi kejuruteraan terkini seperti peralatan dan sensor yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Isnin.

Tambahnya, majikan serta pekerja perlu tahu hak dan tanggungjawab masing-masing seperti yang termaktub dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, khususnya Seksyen 17, 18A, 18B dan 21, yang menjelaskan kewajipan majikan, kontraktor serta pekerja untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Para pekerja yang terlatih akan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang sesuai serta segera melaporkan dan mengambil langkah tepat untuk mencegah kemalangan,” katanya lagi.

Pada Sabtu lalu, insiden kebocoran paip gas di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh dilaporkan berlaku pada jam 9.49 pagi apabila pekerja melihat asap putih keluar dari kawasan terbabit.

Susulan itu, Petronas Gas Berhad (PGB) segera membunyikan siren kecemasan dan mengarahkan semua pekerja mengosongkan kawasan serta menutup dua injap utama.

Menurut Chieng Jen, tindakan pantas yang diambil oleh PGB membuktikan bahawa tahap kesedaran pekerja dan latihan kecemasan yang sistematik mampu menyelamatkan nyawa.

Artikel Berkaitan:

“Kita mempunyai kepakaran, modul latihan khas serta 13 makmal bertaraf antarabangsa yang boleh membantu pihak industri meningkatkan tahap keselamatan pekerja di sektor berisiko tinggi.

“Kami juga sentiasa memainkan peranan dalam melatih tenaga kerja, menjalankan penyelidikan teknikal serta bersedia membantu agensi berkaitan termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam menjalankan siasatan,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Kebocoran paip gas butana di Kerteh, Kemaman menunjukkan pentingnya latihan pencegahan kemalangan di tempat kerja
  • Majikan di sektor petroleum dan gas perlu memastikan pegawai diberikan latihan risiko dan mengambil langkah menangani insiden
  • Pendekatan HIRARC penting untuk mengenal pasti dan mengawal risiko kemalangan termasuk kebocoran gas
  • Majikan dan pekerja harus mengetahui hak dan tanggungjawab masing-masing mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
  • Tindakan pantas Petronas Gas Berhad (PGB) sewaktu kebocoran gas membuktikan keberkesanan latihan kecemasan dan kesedaran pekerja

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!