Paip gas bocor di tapak ECRL, polis tutup jalan utama Kerteh-Ranggon

Kebocoran paip gas di tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen Lima, dekat Kerteh, pagi tadi. - Foto ihsan media sosial
Kebocoran paip gas di tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen Lima, dekat Kerteh, pagi tadi. - Foto ihsan media sosial
A
A
A

CHUKAI - Polis menutup laluan utama Kerteh-Ranggon kepada semua kenderaan susulan kebocoran paip gas Petronas Berhad (PGB) di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan pada jam 9.53 pagi yang melaporkan terdapat kebocoran paip gas jenis butane dalam bentuk gas mudah terbakar.

Beliau berkata, lokasi kebocoran terletak kira-kira dua kilometer dari jalan utama dan tidak melibatkan kawasan perkampungan atau kediaman penduduk.

"Langkah awal pihak polis ialah menutup sepenuhnya kawasan kejadian daripada akses orang awam dan pekerja.

"Bekalan gas di saluran paip gas yang bocor juga telah diberhentikan dan ditutup untuk sementara hingga selesai kerja penyelenggaraan oleh kontraktor.

"Laluan utama Kerteh-Ranggon juga ditutup kepada semua kenderaan bagi tujuan keselamatan manakala Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) juga telah diaktifkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Razi berkata, pihak berkuasa sedang memantau situasi dengan rapi dan orang awam dinasihatkan tidak menghampiri lokasi kejadian bagi mengelak insiden tidak diingini.

Selain itu, beliau berkata polis juga akan menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa dan orang awam diminta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di talian 09-8592222," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Polis menutup laluan utama Kerteh-Ranggon kerana kebocoran paip gas Petronas di Tapak Projek ECRL Seksyen 5 Kerteh
  • Kebocoran paip gas jenis butane yang mudah terbakar dilaporkan pada jam 9.53 pagi
  • Lokasi kebocoran berada kira-kira dua kilometer dari jalan utama tanpa melibatkan kawasan perkampungan
  • Bekalan gas ditutup sementara dan kawasan kejadian diisolasi dari akses orang awam dan pekerja
  • Pihak berkuasa sedang memantau situasi dan orang awam dinasihatkan mengikut arahan keselamatan yang dikeluarkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!