Op PUU: Penunggang motosikal paling ramai terima notis advokasi

Ops PUU yang dilaksanakan oleh JSPT Kuala Lumpur.
Ops PUU yang dilaksanakan oleh JSPT Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Penunggang motosikal mencatatkan jumlah paling ramai menerima notis advokasi dalam kempen Operasi Patuh Undang-Undang (Ops PUU) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sejak Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, secara keseluruhan sebanyak 42,288 notis advokasi dikeluarkan sejak Selasa hingga Sabtu.

“Daripada jumlah itu, penunggang motosikal menerima 19,672 notis, manakala pemandu kereta mencatatkan 18,058.

“Pemandu van pula menerima 821 notis, lori (576), teksi (955) dan pejalan kaki (2,206),” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohamed Usuf berkata, kesalahan paling tinggi yang dikesan ialah halangan lalu lintas dengan 18,169 notis dikeluarkan.

“Kesalahan lain seperti mengabaikan isyarat lalu lintas (9,897), berhenti di petak kuning (2,328), nombor plet kotor, kabur atau ‘fancy’ (1,843), tidak memakai tali pinggang keledar (259) dan tidak memakai topi keledar (1,633),” katanya.

Katanya, Polis Kuala Lumpur akan terus mempergiatkan pelaksanaan Ops PUU sebagai langkah mendidik dan meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya.

“Ops PUU akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang lalu lintas di ibu negara berada pada tahap terbaik,” katanya.

Polis Kuala Lumpur melaksanakan Kempen Advokasi Ops PUU di beberapa jalan utama di ibu negara bermula 6 September lalu.

Artikel Berkaitan:

Kempen advokasi itu bertujuan mendidik pengguna jalan raya mengenai kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas, khususnya di kawasan pusat bandar, sebagai persediaan sebelum pelaksanaan Ops PUU sebenar.

Ringkasan AI

  • Penunggang motosikal mencatatkan jumlah paling ramai menerima notis advokasi dalam kempen Operasi Patuh Undang-Undang di Kuala Lumpur
  • Sebanyak 42,288 notis advokasi dikeluarkan dalam tempoh lima hari kempen
  • Kesalahan halangan lalu lintas mencatatkan jumlah kesalahan paling tinggi dengan 18,169 notis dikeluarkan
  • Polis Kuala Lumpur akan terus mempergiatkan pelaksanaan Ops PUU untuk meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya
  • Kempen advokasi bertujuan mendidik pengguna jalan raya tentang kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!