Serbuan Op Taring: PGA gagalkan cubaan seludup haiwan eksotik

KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan apabila merampas 15 ekor lembu, tiga ekor burung kakak tua dan seekor merak putih dalam dua serbuan berasingan semasa penugasan Op Taring Wawasan di Tumpat dan Tanah Merah pada Rabu.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 11.15 malam dengan menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Wakaf Simen, Tanah Merah.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 15 ekor lembu yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand tanpa dokumen sah.
“Kami telah menahan seorang pemandu berusia 52 tahun yang mengambil upah menghantar lembu terbabit ke pasaran tempatan,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM186,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
Beliau berkata, suspek serta barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Nik Ros Azhan memberitahu, bagi rampasan kedua, PGA telah menemui beberapa kotak dan sangkar haiwan di tebing sungai berhampiran pangkalan haram Paija, Pengkalan Kubor, Tumpat.
“Hasil pemeriksaan mendapati di dalam kotak terbabit mengandungi tiga ekor burung kakak tua dan seekor merak putih bernilai RM65,000 yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan kesemua rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

