'Bukan saya yang meninggal dunia'

Shayril berkongsi gambar terbaharu kepada Sinar Harian.
Shayril berkongsi gambar terbaharu kepada Sinar Harian.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dari Kampung Kesom, Manir di sini yang disahkan positif koronavirus (Covid-19) menafikan berita tular bahawa dia merupakan mangsa ketiga yang meninggal dunia akibat penyakit itu di Malaysia.

Shayril Pienge, 36, yang sedang dirawat di Hospital Tawau, Sabah berkata, mangsa yang meninggal dunia itu adalah orang lain.

Menurutnya, tahap kesihatannya bertambah baik dan dia kini masih mendapatkan rawatan sejak dimasukkan di hospital terbabit pada 16 Mac lalu.

"Pesakit ketiga yang meninggal dunia itu memang dirawat di hospital sama dengan saya. Saya mohon maaf atas kekhilafan maklumat yang disebarkan mengenai kematian saya.

"Sebenarnya saya masih lagi dirawat di sini dan belum pasti sampai bila akan berada di sini. Keadaan saya bertambah baik dan semakin sihat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Shayril yang berasal dari Kampung Sungai Derhaka di sini berkata, dia bersama seorang anak dan lapan jemaah lain ke Tawau, Sabah untuk urusan dakwah selepas menyertai perhimpunan di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur.

Katanya, anak lelakinya, Muhammad Hassan Al-Basri yang turut serta bersamanya juga sedang dikuarantin di Markas Dakwah Tawau.

"Jadi yang tinggal di kampung hanya isteri bersama tiga anak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia mula menyedari perubahan kesihatannya selepas menghidap selesema dan batuk serta sakit di bahagian pinggang pada 5 Mac lalu sebaik tiba di Tawau.

Dia berkata, apabila dapat maklumat ada yang positif Covid-19 di Masjid Sri Petaling, semua jemaah yang tiba di Tawau membuat saringan dan diberikan ubat batuk dan selesema.

"Sakit pinggang sudah tiada. Jemaah lain juga beransur baik cuma saya dan anak masih mengalami selesema lagi.

"Pada 13 Mac lalu saya sekali lagi menjalani proses saringan kedua dan sampel cecair pada bahagian lidah diambil.

"Pada sebelah malam saya menerima panggilan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan saya positif Covid-19 manakala anak negatif," katanya.

Shayril berkata, pada mulanya dia agak runsing menerima berita itu dan kini semakin boleh menerima hakikat.

Terdahulu, Shayril melalui pesanan suara yang tular di media sosial berharap apa yang dilaluinya itu dipermudahkan.

Mesej tular menafikan berita mengenai kematian Shayril. - Foto pembaca
Mesej tular menafikan berita mengenai kematian Shayril. - Foto pembaca

"Saya berdoa segala usaha kita dipermudahkan untuk mengatasi wabak ini. Insyaa-ALLAH jangan terlalu runsing, kalau ditakdirkan mati ia akan sampai, tidak akan berganjak walau sesaat.

"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian. Jika ditakdirkan saya meninggal dunia kebumikan sahaja di sini (Tawau).

"Jika ditakdirkan sembuh, saya harap sembuh sepenuhnya dan tidak mahu membawa bersama virus ini ke Terengganu. Sama-sama kita banyakkan usaha dan berdoa," katanya