Covid-19: Kerajaan Perak alukan sumbangan swasta, korporat

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengalu-alukan sumbangan pihak swasta dan badan korporat kepada Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak bagi membantu rakyat negeri ini yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bantuan yang diterima melalui tabung berkenaan akan disalurkan kepada golongan sasar yang terjejas akibat Covid-19 mahupun daripada pelaksanaan perintah kawalan.

"Alhamdulillah, ketika ini sudah ada satu pihak tampil dengan memberikan sumbangan sebanyak RM200,000, untuk itu saya ucapkan terima kasih.

"Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bendahari Negeri Perak CIMB Islamic di nombor akaun 8601170183," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal menzahirkan rasa kecewa apabila mendapati masih ramai rakyat negeri ini tidak ambil endah Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan.

Katanya, keadaan itu boleh mengundang risiko besar berlakunya peningkatan kes jangkitan yang mendadak.

"Sebagai rakyat, kita cuma diminta tinggal dan duduk diam di rumah, tetapi apa berlaku hari ini, sudah terdapat kakitangan perubatan di negeri ini yang dijangkiti dengan virus Covid-19, ini perkara yang menyedihkan.

"Amatlah tidak adil untuk mereka yang berkorban masa dan tenaga untuk kita semua, meninggalkan anak isteri untuk meneruskan tanggungjawab, tetapi kita tidak mengendahkan nasihat kerajaan dengan keluar rumah dan menyebabkan wabak ini tidak dapat dibendung," katanya.

Artikel Berkaitan: