Perketat pemantauan agensi agama, tingkat integriti banteras rasuah

SHAH ALAM - Kerajaan negeri dan pusat perlu memperketat sistem pemantauan ke atas semua jabatan terutama agensi agama bagi memastikan tiada ruang untuk 'tikus berserban' terlibat salah laku demi kepentingan peribadi.
Pengerusi Gerakan Belia 4B Pulau Pinang, Mohamad Nazri Abdul Latiff berkata, jangan biarkan institusi yang sepatutnya memelihara syariat dicemari kerakusan manusia yang menjadikan integriti hanya sekadar slogan di dinding pejabat.
"Kami menuntut agar siasatan menyeluruh dilakukan kepada individu terlibat jenayah rasuah. Diharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak melindungi mana-mana individu bersalah, tanpa mengira setinggi mana pun pangkat atau kedudukan mereka.
"Tindakan tatatertib perlu segera diambil pihak berkenaan sebagai bukti keseriusan dalam membanteras rasuah dari peringkat akar umbi," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, seorang pegawai Jais mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkaitan rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Amir Zubir didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menerima RM8,000 daripada pemilik sebuah syarikat sebagai dorongan untuk membantu mengurangkan kompaun berkaitan sijil halal.
Menurut pihak pendakwaan, jumlah itu dimasukkan ke akaun bank Amir pada 18 Jan 2023.
Tambah Mohamad Nazri, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk salah laku rasuah yang melibatkan penjawat awam khususnya yang bertugas di institusi agama Islam seperti yang berlaku melibatkan seorang pegawai berkaitan urusan sijil halal.
"Sebagai badan belia yang menjunjung nilai integriti, keadilan dan ketelusan, kami memandang berat kes ini kerana ia bukan sahaja menjatuhkan maruah institusi agama, malah menghakis kepercayaan masyarakat terhadap sistem pensijilan halal negara satu perkara yang sangat penting kepada umat Islam dan industri makanan halal tempatan.
"Perbuatan menjual kuasa demi wang ringgit ini adalah pengkhianatan terhadap amanah, agama dan rakyat. Lebih menjijikkan apabila ia dilakukan atas nama membantu mengurangkan kompaun yang secara tidak langsung memberi mesej bahawa undang-undang boleh dibeli oleh sesiapa yang mampu membayar," katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan negeri dan pusat harus memperketat pemantauan ke atas agensi agama untuk menghindari salah laku
- Mohamad Nazri Abdul Latiff menyeru siasatan menyeluruh atas individu terlibat rasuah
- Pegawai Jais didakwa menerima RM8,000 untuk membantu mengurangkan kompaun berkaitan sijil halal
- Kes ini dianggap mencemarkan maruah institusi agama dan menghakis kepercayaan masyarakat terhadap sistem pensijilan halal
- Tindakan salah laku rasuah ini dilihat sebagai pengkhianatan terhadap amanah, agama dan rakyat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

