Lebih 1,000 cerun berisiko di seluruh negara kini dipantau - Alexander

Alexander (kiri) bersama Penasihat merangkap Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), Ir Mohd Shahrom Ahmad Saman (kanan) pada Program Kesiapsiagaan Kementerian Kerja Raya dalam menghadapi Monsun Timur Laut 2025 di Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) JKR, Kuala Lumpur hari ini. Foto: Bernama
Alexander (kiri) bersama Penasihat merangkap Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), Ir Mohd Shahrom Ahmad Saman (kanan) pada Program Kesiapsiagaan Kementerian Kerja Raya dalam menghadapi Monsun Timur Laut 2025 di Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) JKR, Kuala Lumpur hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,087 daripada 34,400 cerun di seluruh Malaysia dikategorikan sebagai berisiko dan diletakkan dalam pemantauan rapi Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) yang diaktifkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) menjelang musim monsun timur laut.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu, 1,066 cerun berisiko terletak di Semenanjung, tujuh di Sabah, satu di Sarawak manakala 13 lokasi lagi di Labuan.

"Sistem BiGBen memantau semua kategori cerun dengan sokongan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan. Big Ben berperanan penting dalam kesiapsiagaan menghadapi bencana.

"Diharapkan lebih banyak aspek teknologi akan digunakan untuk penambahbaikan sistem ini,” katanya selepas menghadiri program kesiapsiagaan Kementerian Kerja Raya dalam menghadapi Monsun Timur Laut 2025 di BiGBen JKR, di sini hari ini.

Tambahnya, BiGBen berfungsi memantau insiden berkaitan bencana termasuk banjir, tanah runtuh, jalan mendap dan kerosakan jambatan secara hampir masa nyata melalui input pegawai JKR di peringkat daerah.

Alexander berkata, maklumat berkenaan bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh badan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara, kerajaan negeri dan pejabat daerah malah turut dikongsi dengan orang ramai melalui aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun.

Pengguna juga boleh mengetahui status jalan ditutup penuh atau separa serta laluan alternatif.

Ujarnya, bagi bencana di Sabah, JKR telah menghantar pegawai teknikal ke lokasi untuk memberi khidmat nasihat teknikal selain bekerjasama dengan JKR Sabah dan pihak berkuasa negeri.

"Setakat ini, terdapat 10 kes cerun dikenal pasti di Jalan Persekutuan di Sabah… anggaran kos kerosakan keseluruhan masih dikumpul kerana keadaan masih berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mahu sebut angka sementara yang mungkin berubah... jika dana dalaman tidak mencukupi, permohonan akan diajukan kepada Kementerian Kewangan,” katanya.

Sementara itu, JKR dalam kenyataan memaklumkan, agensi tersebut telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi musim bencana dengan menyediakan 238.7 meter Jambatan Bailey untuk kegunaan kecemasan di tujuh stor.

"Antaranya stor di Bahagian Jalan JKR Kedah, JKR Daerah di Temerloh, Pahang; Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Johor Bahru, Johor; Petaling, Selangor dan Kinta di Perak manakala Jajahan Machang di Kelantan.

"Selain itu, Melaka dan Terengganu juga telah melaksanakan perolehan Jambatan Bailey menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) tahun 2025 bagi tujuan kesiapsiagaan bencana dan keperluan kecemasan," katanya. - Bernama

Ringkasan AI

  • Sebanyak 1,087 cerun di seluruh Malaysia dikategorikan berisiko menghadapi musim monsun
  • Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) diaktifkan untuk memantau cerun berisiko dengan sokongan teknologi termasuk kecerdasan buatan
  • Informasi bencana boleh dikongsi dengan umum melalui aplikasi mudah alih
  • JKR telah menghantar pegawai teknikal ke Sabah untuk memberi nasihat teknikal bagi menghadapi bencana
  • 238.7 meter Jambatan Bailey disediakan untuk kegunaan kecemasan di tujuh stor di seluruh Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!