Pasukan Itali mulakan pelayaran fasa kedua menuju Gaza

SHAH ALAM - Sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini berada di Itali akan memulakan pelayaran fasa kedua pada Jumaat walaupun diramal berdepan ribut dengan kelajuan angin sehingga 40 knot serta ombak setinggi empat meter.
Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia (YAM), Norazman Ishak berkata, pasukan Itali sepakat memulakan pelayaran berkenaan untuk bergabung dengan pasukan dari Sepanyol, Tunisia dan Greece.
Norazman berkata, misi itu adalah sebahagian daripada usaha kemanusiaan ke Gaza dengan harapan ALLAH SWT akan melindungi semua peserta sepanjang pelayaran.
"Jumaat penghulu segala hari, moga ALLAH SWT mempermudahkan pelayaran fasa kedua.
"Alhamdulillah, pasukan GSF Itali sepakat memulakan pelayaran fasa kedua untuk bergabung dengan konvoi dari tiga pasukan lagi," katanya menerusi hantaran video yang dikongsikan di Instagram Yayasan Amal Malaysia pada Jumaat.
Pada Khamis, semua kapal telah diingatkan supaya berwaspada susulan ramalan cuaca yang menjangkakan ribut kuat lebih buruk daripada kejadian di Barcelona.
Norazman turut menyeru orang ramai menyokong misi itu di media sosial sebagai usaha menekan rejim dan menghentikan genosid yang telah berlarutan selama dua tahun terhadap penduduk Gaza.
"Flotila ini pelayaran kita bersama. Bangkit bersama," tulisnya.
Sementara itu, Perunding Media Al-Khair Malaysia, Razali Awang turut meluahkan rasa syukur kerana armada konvoi kini hampir lengkap berkumpul di perairan Sicily, Itali.
"Pada masa sama, peserta diminta sentiasa berjaga-jaga kerana ramalan cuaca memberi amaran akan berlaku ribut mencecah 40 knot dengan ombak setinggi empat meter, lebih dahsyat daripada keadaan di Barcelona," katanya dalam hantaran di Facebook Al-Khair Malaysia.
Beliau turut memohon agar ALLAH SWT melindungi mereka daripada segala bahaya dan memudahkan pelayaran hingga ke destinasi.
Ringkasan AI
- Sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF) di Itali akan memulakan pelayaran fasa kedua pada Jumaat walaupun ada ramalan ribut kuat
- Pasukan dari Itali, Sepanyol, Tunisia, dan Greece sepakat bergabung dalam konvoi
- Misi ini bertujuan untuk bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan doa perlindungan sepanjang pelayaran
- Diramal ribut dengan angin sehingga 40 knot dan ombak setinggi empat meter, lebih buruk daripada kejadian di Barcelona
- Norazman Ishak menyeru sokongan untuk misi ini di media sosial untuk tekanan terhadap genosid di Gaza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

