Laksanakan Akta 852 sepenuhnya, bukan musnahkan ekonomi bumiputera - Persatuan vape

Tiga persatuan utama industri vape membantah keras cadangan kerajaan untuk melaksanakan larangan sistem terbuka vape di seluruh negara dan rancangan larangan vape peringkat nasional. Gambar kecil: Adzwan Ab Manas
Tiga persatuan utama industri vape membantah keras cadangan kerajaan untuk melaksanakan larangan sistem terbuka vape di seluruh negara dan rancangan larangan vape peringkat nasional. Gambar kecil: Adzwan Ab Manas
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga persatuan utama industri vape membantah keras cadangan kerajaan untuk melaksanakan larangan sistem terbuka vape di seluruh negara dan rancangan larangan vape peringkat nasional.

Tiga persatuan itu ialah Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA), Persatuan Peniaga Vape Melayu Malaysia (PPVM) dan Malaysia E-Vaporizers and Tobacco Alternative Association (MEVTA)

Menurut ketiga-tiga persatuan tersebut, langkah sedemikian akan menjejaskan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang telah diwartakan pada 2 Februari 2024 dan mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024.

Presiden MRECA, Datuk Adzwan Ab Manas menegaskan bahawa kerajaan seharusnya menumpukan kepada pelaksanaan penuh akta sedia ada, bukannya mengharamkan sesuatu yang telah lama menjadi sebahagian daripada ekosistem ekonomi negara.

“Industri ini bukan baharu, ia telah wujud lebih 20 tahun dan mempunyai komuniti dengan kitaran ekonomi yang stabil. Akta 852 sendiri menetapkan keperluan pendaftaran produk mengikut setiap unit simpanan stok (SKU) pada kos tinggi, sekitar RM5,000 bagi setiap SKU," katanya dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat.

Terdahulu media melaporkan Kerajaan Persekutuan akan mengharamkan sepenuhnya penjualan rokok elektronik atau vape sebagai langkah membendung penyalahgunaan produk berkenaan yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Adzwan berkata, tidak sampai setahun Akta 852 dikuatkuasakan, tiba-tiba timbul isu larangan pula, termasuk berita mengenai pengharaman sistem terbuka.

"Bayangkan nasib para peniaga yang sudah melabur untuk menghasilkan produk serta membayar kos pendaftaran sejak awal tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, Presiden PPVM, Mohd Sabri Ismail berkata, ramai pengusaha telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk kos pematuhan dan memulakan proses pendaftaran seawal Februari 2024, namun sehingga kini kelulusan masih tergantung.

Artikel Berkaitan:

“Hal ini akan melibatkan kerugian yang secara total. Larangan menyeluruh ini bukan sahaja menafikan pelaburan ini, tetapi mendorong pengguna kepada produk tidak selamat dan tidak dikawal dalam pasaran gelap," katanya.

Beliau berkata, kesan daripada pengharaman vape ini akan muncul produk-produk tidak berkualiti dengan campuran bahan terlarang yang membahayakan pengguna.

"Kita boleh lihat contoh di Australia, di mana undang-undang baharu pada tahun 2024 mengehadkan penjualan vape hanya di farmasi tetapi dengan kawalan ketat.

"Pendekatan ini telah memberi ruang kepada jenayah terancang, dengan data kerajaan menunjukkan jualan sah hanyalah 1 daripada setiap 1,700 transaksi vape,” jelasnya.

Kajian menunjukkan Industri vape di Malaysia kini mempunyai kira-kira 250 pengeluar dan lebih 100 pengimport, serta menawarkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Presiden MEVTA, Mohamad Neezam Talib pula menegaskan bahawa Akta 852 sudah menyediakan kerangka kawal selia yang jelas.

“Industri vape di Malaysia hampir keseluruhannya dimiliki oleh pengusaha bumiputera. Namun, setakat Januari 2024, hanya 29.8 peratus daripada jumlah keseluruhan perniagaan berdaftar di Malaysia adalah milik usahawan bumiputera.

"Larangan mengejut ini sebenarnya membunuh keusahawanan bumiputera dalam industri vape tanpa menyediakan sebarang penyelesaian kepada mereka yang terpaksa menutup perniagaan," katanya.

Beliau berkata, kesannya bukan sahaja pada pelaburan, malah pada ribuan pekerja bumiputera yang kehilangan sumber pendapatan.

"Jika kerajaan benar-benar mahu memperkasakan usahawan bumiputera, tindakan seperti ini jelas bercanggah dengan aspirasi tersebut,” katanya.

Ketiga-tiga persatuan itu sebulat suara menegaskan komitmen mereka untuk terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memperkukuh pematuhan peraturan di bawah Akta 852.

Mereka menekankan bahawa penglibatan konstruktif dan penguatkuasaan konsisten, bukan larangan menyeluruh adalah jalan terbaik untuk melindungi pengguna, mempertahankan pekerjaan dan memastikan industri ini terus menyumbang kepada ekonomi serta matlamat kesihatan awam negara.

 

Ringkasan AI

  • Tiga persatuan utama industri vape di Malaysia menentang keras cadangan kerajaan untuk melarang sistem terbuka vape dan larangan vape peringkat nasional
  • Langkah tersebut dilihat akan menjejaskan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024
  • Presiden MRECA, Datuk Adzwan Ab Manas, menyeru kerajaan untuk mengutamakan pelaksanaan akta sedia ada daripada mengharamkan vape, menekankan industri vape telah lama beroperasi dan memberi sumbangan ekonomi
  • Industri vape di Malaysia, yang kebanyakannya diusahakan oleh pengusaha bumiputera, menghadapi kerugian pelaburan besar dan risiko pekerjaan jika larangan penuh diteruskan
  • Ketiga-tiga persatuan tersebut berjanji untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dalam memperkukuh pematuhan peraturan demi melindungi pengguna dan memastikan kelestarian industri vape

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!