YSB lancar bas pemeriksaan buah pinggang bergerak baharu

ALOR SETAR – Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) terus memperluas akses kesihatan kepada rakyat apabila melancarkan unit baharu bas pemeriksaan kesihatan bergerak, khusus untuk pemeriksaan buah pinggang.
Bas bernilai RM856,000 itu dibangunkan dengan kerjasama Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), serta sokongan daripada Lions Clubs International Foundation (LCIF), Lions Club of Alor Setar, Lions Club of Langkawi dan dermawan Datuk Seri Goh Eng Hoe.
Pengerusi Program Kesihatan YSB, Datuk Dr Cheng Joo An berkata, pelancaran bas ini adalah simbol komitmen YSB dalam memastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada akses kepada penjagaan kesihatan asas.
“Bas ini lebih daripada sekadar kenderaan. Ia adalah janji bahawa tiada siapa, tanpa mengira di mana mereka tinggal akan dinafikan hak untuk mendapatkan rawatan pencegahan.
"Misi kami bukan sekadar merawat, tetapi mencegah, mendidik dan melindungi rakyat Kedah,” katanya pada Khamis.

Majlis pelancaran disempurnakan Tunku Temenggong Kedah merangkap Pengerusi YSB, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Menurut Joo An, bas baharu ini menggantikan unit terdahulu yang telah berkhidmat selama lebih 15 tahun.
“Reka bentuk terkini menawarkan susun atur lebih selesa, kos penyelenggaraan lebih rendah dan keupayaan untuk menjangkau kawasan luar bandar dengan lebih berkesan.
“Sejak program ini dimulakan pada tahun 2012, lebih 200,000 rakyat Malaysia telah menerima manfaat daripada pemeriksaan kesihatan percuma yang dijalankan.
"Sepanjang tempoh itu, sebanyak 2,373 hari pemeriksaan telah diadakan melibatkan saringan fungsi buah pinggang, tekanan darah, paras gula, kolesterol, indeks jisim badan (BMI) dan sesi kaunseling kesihatan,” ujarnya.
YSB memperuntukkan RM150,000 setiap tahun bagi memastikan kesinambungan program ini yang dijalankan lima hari seminggu merentasi negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak Utara.
Dalam majlis sama, YSB turut mengumumkan inisiatif baharu iaitu pembangunan bas klinik mata bergerak dengan kerjasama Lions Clubs International dan Hospital Sultanah Bahiyah.
Projek itu bakal dilengkapi dengan mesin OCT (bersama fundus), lampu celah, autorefraktor dan peralatan diagnostik lain bagi pengesanan awal penyakit mata seperti katarak, glaukoma dan retinopati diabetik.
Ringkasan AI
- Yayasan Sultanah Bahiyah melancarkan unit bas pemeriksaan kesihatan bergerak untuk pemeriksaan buah pinggang
- Bas bernilai RM856,000 ini dibangunkan dengan kerjasama Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan dan sokongan daripada beberapa badan dan dermawan
- Pelancaran bas ini menunjukkan komitmen YSB dalam memastikan tiada rakyat terpinggir dari akses penjagaan kesihatan
- Bas baru menggantikan unit terdahulu yang telah berkhidmat lebih 15 tahun, dengan reka bentuk terkini yang lebih selesa dan efisien
- YSB memperuntukkan RM150,000 setiap tahun untuk program pemeriksaan kesihatan ini yang merentasi beberapa negeri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

