Tanam sayur-sayuran dalam bagasi terbiar

Kaedah itu diperkenalkan untuk memanfaatkan beg pakaian yang ditinggalkan pelancong. Foto Agensi
Kaedah itu diperkenalkan untuk memanfaatkan beg pakaian yang ditinggalkan pelancong. Foto Agensi
A
A
A

TOKYO – Lapangan terbang dan hotel di seluruh Jepun berdepan masalah lambakan bagasi ditinggalkan pelancong yang berkunjung ke negara itu.

Beberapa kemudahan bagaimanapun menggunakan pendekatan baharu untuk menangani situasi itu termasuk memberikannya kepada orang ramai.

Hal itu berlaku kerana kebanyakan pemilik membeli bagasi baharu untuk memuatkan cenderahati yang dibeli mereka.

Sebuah gudang milik Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di wilayah Chiba menjadi tempat simpanan kira-kira 60 bagasi yang tidak dituntut.

Ia merupakan masalah utama di kebanyakan lapangan terbang di Tokyo. Foto Agensi
Ia merupakan masalah utama di kebanyakan lapangan terbang di Tokyo. Foto Agensi

Sebahagiannya ditemui di sekitar lapangan terbang dan disimpan selama tiga bulan dalam senarai barang hilang sebelum dilupuskan jika tiada individu membuat tuntutan.

Pada tahun lalu, kira-kira 700 bagasi dihantar ke gudang dan 400 lagi dibawa hingga akhir Jun lalu yang mana hanya 10 peratus dituntut pemiliknya.

"Tindakan pelupusan juga menelan kos yang tinggi," kata ketua bahagian perakaunan di balai polis tersebut.

Artikel Berkaitan:

Antara faktor yang menyebabkan keadaan sedemikian kerana syarikat penerbangan menetapkan had berat bagasi selain ada penumpang yang memerlukan beg dengan ruang lebih besar.

Cara unik

Selain itu, segelintir pelancong didakwa meninggalkan bagasi mereka di hotel.

Pada 2023, Hotel Niwa Tokyo menemui cara unik untuk menggunakan semula bagasi ditinggalkan di bilik tetamu iaitu menjadikan ia sebagai 'pasu tanaman'.

Hotel tersebut menanam sembilan jenis sayur-sayuran dan herba dengan beg pakaian yang diisi dengan tanah. Hasil tuaian kemudiannya digunakan sebagai bahan masakan untuk restoran di premis berkenaan.

"Ia sangat kukuh hingga kami boleh tanam sayur. Kami mahu memperkenalkan cara ini untuk memanfaatkan beg pakaian terbiar," kata staf hotel yang bertanggungjawab terhadap projek itu.

Hasil tanaman itu digunakan sebagai bahan masakan untuk restoran di hotel berkenaan. Foto Agensi
Hasil tanaman itu digunakan sebagai bahan masakan untuk restoran di hotel berkenaan. Foto Agensi

Sementara itu, beberapa kemudahan melaksanakan beberapa langkah bagi menghalang orang ramai meninggalkan bagasi mereka.

Sebagai contoh, Lapangan Terbang Chubu di wilayah Aichi pada Oktober 2024 memperkenalkan perkhidmatan yang mana beg pakaian tidak diperlukan boleh dikutip dengan bayaran 1,200 yen (RM34) sebuah. - Agensi

Info

>Menurut Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun, seramai 36.78 juta pelancong melawat Jepun pada 2024.

>Lapangan Terbang Kansai di Osaka berdepan dengan 816 bagasi tidak bertuan pada fiskal 2024, meningkat daripada 716 pada fiskal 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.

>Terminal 3 di Lapangan Terbang Haneda yang menyediakan perkhidmatan untuk penerbangan antarabangsa di Tokyo menyaksikan peningkatan satu setengah kali ganda jumlah bagasi yang dilupuskan dalam tempoh sama.

 

Ringkasan AI

  • Lapangan terbang dan hotel di Jepun berdepan dengan masalah lambakan bagasi ditinggalkan pelancong
  • Pemilik bagasi membeli beg baru untuk memuatkan cenderahati
  • Gudang Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Narita menyimpan bagasi tidak dituntut
  • Hotel Niwa Tokyo menggunakan bagasi terbiar sebagai 'pasu tanaman' untuk menanam sayur-sayuran dan herba
  • Lapangan Terbang Chubu memperkenalkan perkhidmatan kutipan beg dengan bayaran bagi mengurangkan masalah bagasi terbiar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!