'Kamu ingat kamu sahaja ada penumbuk? Saya pun ada' – Luahan doktor tular

Tangkap layar gambar yang muat naik Dr Nurul bersama hantarannya pada Khamis.
Tangkap layar gambar yang muat naik Dr Nurul bersama hantarannya pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA – “Kamu ingat kamu sahaja ada penumbuk? Saya pun ada."

Demikian luahan beremosi seorang pegawai perubatan, Dr. Nurul Filzah Ayuni Rohaizat yang terpaksa berdepan ketidakpuasan hati keluarga pesakit ketika pasukannya sedang bertarung menyelamatkan nyawa seorang ibu dan bayi kembar pramatang seberat satu kilogram di sebuah hospital daerah di Sabah.

Beliau menceritakan pengalaman itu dalam hantaran di Facebook yang tular sejak Khamis, mendedahkan realiti petugas barisan hadapan di hospital daerah yang bekerja tanpa rehat, namun tetap meletakkan pesakit sebagai keutamaan walaupun berdepan ugutan fizikal.

Menurutnya, insiden berlaku ketika beliau sedang bertugas syif petang di Jabatan Kecemasan, manakala hanya dua pegawai perubatan menjaga seluruh hospital kerana hari tersebut adalah cuti umum.

“Saya berulang-alik ke bilik bersalin untuk membantu pasukan menyelamatkan ibu dan bayi kembar yang lahir tidak cukup bulan. Kami perlu intubasi kedua-duanya, stabilkan keadaan ibu, hubungi pakar dan sediakan penghantaran ke Hospital Tawau.

“Bayangkan kawan saya terpaksa melakukan 'manual bagging' bayi selama dua jam di dalam ambulans sempit sehingga muntah dua kali sebaik tiba kerana terlalu letih dan lapar,” katanya.

Beliau berkata, hospital berkenaan hanya mempunyai satu mesin ventilator bayi, menyebabkan seorang lagi bayi terpaksa disokong secara manual sepanjang perjalanan.

Keadaan bertambah mencabar apabila keluarga pesakit mula menengking dan mengugut kakitangan di luar bilik bersalin, sedangkan pasukan perubatan sedang sibuk merawat pesakit kritikal.

“Staf saya sudah penat meresusitasi pesakit, belum makan, belum rehat.

Artikel Berkaitan:

“Kalau ikutkan rasa hati, saya sudah tumbuk mereka, tapi saya tarik nafas dalam-dalam dan cuba jelaskan dengan perlahan.

“Akhirnya jururawat saya terpaksa hubungi polis kerana keadaan semakin panas,” katanya.

Dr. Nurul turut meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pesakit yang enggan menjalani pemeriksaan antenatal, tidak memiliki dokumen sah perkahwinan atau kad pengenalan, sekali gus menambah kesukaran proses rawatan.

“Ada yang datang dari jauh kerana tahu hospital di sini tidak mengenakan deposit walaupun tiada dokumen. Kami tetap rawat kerana bagi kami, nyawa mesti diutamakan.

“Kadang-kadang baju bayi pun tiada. Kami simpan laci khas yang diisi pampers, baju dan tisu basah daripada duit kami sendiri untuk kes begini,” katanya.

Tambah beliau lagi, sistem kesihatan di kawasan luar bandar sebenarnya bertahan bukan kerana perancangan rapi atau fasiliti mencukupi tetapi kerana pengorbanan doktor muda dan jururawat yang berjiwa besar.

“Kami terlalu penat, terlalu lapar, tiada masa untuk makan atau berehat. Hendak ambil cuti sakit pun fikir dua kali sebab tiada pengganti.

“Saya sedih kerana sistem kesihatan kita berdiri bukan kerana ia sistem yang baik, tetapi kerana ada doktor dan jururawat yang ikhlas, yang sanggup berkorban demi pesakit,” ujarnya.

Beliau mengakui ramai rakan sekerja kini mula hilang semangat kerana kebajikan mereka tidak dipedulikan, malah ada yang terpaksa membeli sendiri peralatan asas seperti mikropore untuk kegunaan hospital.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pasukannya tetap komited menyelamatkan nyawa tanpa mengira latar belakang pesakit walaupun berdepan pandangan serong dan cabaran emosi yang berat.

“Saya harap ada kuasa untuk ubah keadaan ini, tetapi buat masa sekarang saya hanya mampu menulis. Jika tulisan saya boleh ubah walau sedikit, saya akan teruskan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Pegawai perubatan, Dr Nurul Filzah Ayuni Rohaizat berdepan dengan ketidakpuasan keluarga pesakit semasa cuba menyelamatkan nyawa seorang ibu dan bayi kembar pramatang di Sabah
  • Hanya dua pegawai perubatan menjaga seluruh hospital pada hari kejadian kerana cuti umum, dengan kes kritikal memerlukan intubasi dan penghantaran ke Hospital Tawau
  • Hospital hanya mempunyai satu mesin ventilator bayi yang menyebabkan salah seorang bayi perlu disokong secara manual sepanjang perjalanan
  • Keluarga pesakit mengugut kakitangan perubatan yang sedang sibuk dengan tugas mereka, hingga terpaksa memanggil polis kerana situasi menjadi panas
  • Dr Nurul mencatat rasa kecewa terhadap sikap sesetengah pesakit dan menyentuh tentang pengorbanan serta komitmen pasukannya dalam menyelamatkan nyawa walaupun ditentang kesulitan dan ketiadaan sokongan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!