'Saya tak akan maafkan kamu'

KOTA KINABALU – Seorang wanita dipercayai ibu kepada pelajar yang meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan sebuah sekolah di Papar meluahkan kekecewaannya terhadap individu yang didakwa membuli anaknya menerusi satu hantaran di media sosial semalam.
Hantaran dimuat naik melalui akaun TikTok itu dipercayai ditulis sendiri oleh ibu mangsa yang turut disertakan dengan gambar keadaan anaknya sebelum disahkan meninggal dunia pada malam Khamis.
"Kepada pembenci-pembenci anak saya, mungkin kamu sudah berpuas hati melihat keadaan ini.
"Ingat, selagi kamu belum memohon maaf dan mengaku, saya juga tidak akan memaafkan kamu. Saya tahu nama-nama mereka yang selalu si Zara sebut...,” demikian petikan luahan tersebut.
Terdahulu, tangkap layar hantaran berkenaan tular di media sosial mencetuskan spekulasi berkaitan unsur buli yang didakwa berlaku terhadap pelajar berkenaan sepanjang berada di sekolah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, mengesahkan bahawa seorang pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama di Papar meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan kenyataan media penuh berhubung siasatan insiden tersebut akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
"Ya, saya sahkan. Tunggu siaran media," katanya ringkas kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Difahamkan, mangsa menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) sebelum disahkan meninggal dunia pada malam Khamis.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, pelajar tersebut berasal dari Sipitang, namun belajar di sebuah sekolah agama di Papar.
"Saya memandang serius perkara dan peristiwa seperti ini yang melibatkan kematian pelajar di sekolah. Info daripada pengetua dan guru-guru di sekolah itu dan dari kronologi peristiwa tersebut tidak jelas penyebabnya.
"Pelajar dijumpai cedera parah, tidak sedarkan diri di bawah bangunan sekolah sekitar jam 3 pagi, walaupun bilik pelajar tersebut bersama pelajar-pelajar lain berada di Tingkat Tiga, tetapi tiada siapa yang melihat kejadian tersebut sama ada terjatuh atau bersama dengan individu lain kerana pelajar-pelajar masa itu sedang tidur," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, bedah siasat telah dibuat untuk menentukan sebab kematian dan ia masih dalam siasatan polis sama ada ada unsur jenayah atau tidak.
"Jabatan Pendidikan pula perlu menyiasat dan mencari fakta dari segi keselamatan tempat, status psikologi dan kesihatan pelajar dan lain-lain faktor seperti ada unsur buli atau tekanan fizikal juga mental. Jadi, kita tunggu hasil siasatan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr Mohd Azam Ahmad meminta supaya tidak membuat tanggapan awal secara melulu mengenai insiden tersebut.
"(Dakwaan buli) itu saya serahkan kepada pihak polis. Kita tak boleh buat tanggapan awal secara melulu. Pihak polis akan datang dengan hasil siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
