Malaysia sumbang AS$50,000 bantu mangsa gempa Afghanistan

Gegaran besar yang melanda wilayah Kunar dan Nangarhar pada 31 Ogos lalu telah meragut 2,200 nyawa dan menyebabkan 3,600 orang cedera.
Gegaran besar yang melanda wilayah Kunar dan Nangarhar pada 31 Ogos lalu telah meragut 2,200 nyawa dan menyebabkan 3,600 orang cedera.
A
A
A

PUTRAJAYA- Malaysia menyumbang AS$50,000 kepada Afghanistan susulan kejadian gempa bumi berkekuatan 6 magnitud yang melanda wilayah Kunar dan Nangarhar baru-baru ini.

Sumbangan menerusi Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) itu disampaikan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan melalui Organization of Malaysian Afghanistan Initiative (OMAI), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, di sini pada Khamis.

"Malaysia menzahirkan solidariti bersama rakyat Afghanistan berikutan bencana gempa bumi yang telah mengorbankan banyak nyawa, menyebabkan perpindahan besar-besaran serta kemusnahan serius terhadap infrastruktur dan sumber kehidupan.

"Walaupun Malaysia tidak mengiktiraf pentadbiran semasa di Kabul, kerajaan tetap teguh dalam meneruskan penglibatan konstruktif dengan rakyat Afghanistan," kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.

Menurut kementerian itu, melalui kerjasama dengan NGO, Malaysia dapat memastikan bantuan disampaikan dengan berkesan serta sejajar dengan prinsip kemanusiaan antarabangsa.

"Malaysia akan terus bersama-sama masyarakat antarabangsa dalam menggembleng usaha bantuan kemanusiaan, sekali gus mengesahkan peranannya sebagai warga global yang bertanggungjawab serta komited terhadap keamanan, kestabilan dan maruah manusia," katanya.

TBKLN ditubuhkan pada tahun 2006 sebagai platform khusus untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada komuniti yang terjejas akibat bencana di seluruh dunia.

Gegaran besar pada 31 Ogos lalu telah meragut 2,200 nyawa dan menyebabkan 3,600 orang cedera.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa hampir separuh daripada jumlah korban adalah kanak-kanak, dengan sekurang-kurangnya 1,182 mangsa maut.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, lebih 8,000 rumah musnah dan 441 kampung terjejas. Sekitar 306 bangunan sekolah rosak atau musnah, sekali gus menjejaskan lebih 157,000 pelajar.

Ringkasan AI

  • Malaysia menyumbang AS$50,000 kepada Afghanistan untuk bantuan gempa bumi
  • Sumbangan disampaikan melalui NGO Malaysia, Organization of Malaysian Afghanistan Initiative (OMAI)
  • Malaysia menunjukkan solidariti walaupun tidak mengiktiraf pentadbiran semasa Kabul
  • Kerjasama dengan NGO memastikan bantuan disampaikan secara berkesan dan mengikut prinsip kemanusiaan
  • Gempa bumi di Afghanistan meragut 2,200 nyawa dan menyebabkan kemusnahan besar termasuk kepada infrastruktur pendidikan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!