PPM patahkan cubaan seludup petrol subsidi bernilai RM15,300

TUMPAT – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor mematahkan cubaan menyeludup petrol ke negara jiran selepas menyerbu sebuah stesen minyak di sini pada Rabu.
Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulafendy Hassan berkata, sebelum serbuan dilakukan, pihaknya telah mengesan kelibat seorang lelaki yang membuat isian secara berulang di stesen minyak terbabit menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero.
"Hasil pemeriksaan mendapati Pajero tersebut mempunyai tangki tambahan yang dipercayai digunakan untuk mengisi minyak berulang kali sebelum mengangkut petrol bersubsidi ke lokasi tertentu bagi tujuan diseludup ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, bagaimanapun lelaki berkenaan bertindak meninggalkan kenderaan di bahu jalan sebaik menyedari diekori pasukan penguat kuasa sebelum melarikan diri.
Ujarnya, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya menemui 150 liter petrol bersubsidi dengan nilai rampasan dianggarkan RM15,300.
Zulafendy memberitahu, kes berkenaan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau menegaskan, PPM Wilayah Tiga sentiasa komited membanteras kegiatan penyeludupan yang mengancam keselamatan ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan boleh menghubungi Bilik Gerakan Markas PPM Kuantan di talian 09-5137726 atau e-mel gerakanw3@gmail.com
Ringkasan AI
- Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor mematahkan cubaan menyeludup petrol ke negara jiran
- Seorang lelaki menggunakan Mitsubishi Pajero dengan tangki tambahan untuk mengisi minyak berulang kali
- Lelaki terbabit melarikan diri setelah menyedari diikuti pihak penguat kuasa
- Pasukan penguat kuasa menemui 150 liter petrol bersubsidi bernilai RM15,300
- Kes diserahkan kepada KPDN Kelantan untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

