Pembangunan Kampong Bharu: Pas gesa kerajaan rangka pelan pembangunan holistik

SHAH ALAM- [DIKEMAS KINI] Pas menggesa kerajaan dan pemaju merangka pelan pembangunan yang holistik, adil serta memberi manfaat jangka panjang kepada orang Melayu di Kuala Lumpur.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, ia seiring dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengenai isu pembangunan semula tanah di Kampong Bharu, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, titah Tuanku jelas menegaskan bahawa pembangunan mesti berhemah, teliti dan mendahulukan kepentingan orang Melayu.
"Oleh itu, Pemuda Pas Selangor berpandangan sebarang pembangunan Kampong Bharu hendaklah menepati tiga asas utama iaitu menjamin hak pemilikan Melayu yang asal tidak tergugat dan melibatkan semua pihak berkepentingan secara telus agar tidak menindas penduduk setempat.
"Selain itu, kerajaan perlu menelitit dan menjadikan pembangunan berimbang antara kemajuan ekonomi dan pemeliharaan warisan sejarah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Mohamed Sukri, Kampong Bharu bukan sekadar penempatan, tetapi simbol sejarah, maruah dan warisan bangsa sejak lebih 100 tahun lalu.
"Kami akan terus bersama rakyat mempertahankan Kampong Bharu sebagai benteng sejarah dan simbol kebangkitan Melayu," ujarnya.
Ringkasan AI
- Pas menggesa kerajaan dan pemaju merangka pelan pembangunan holistik untuk orang Melayu di Kuala Lumpur
- Titah Sultan Selangor menekankan pembangunan yang berhemah dan mengutamakan kepentingan orang Melayu
- Pembangunan Kampong Bharu harus menjaga hak pemilikan Melayu dan melibatkan semua pihak secara telus
- Kerajaan diharap menjadikan pembangunan berimbang antara kemajuan ekonomi dan pemeliharaan warisan sejarah
- Kampong Bharu dilihat sebagai simbol sejarah dan maruah bangsa Melayu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

