Keputusan rayuan Rosmah singkir hakim kes solar pagi ini

PUTRAJAYA - Keputusan rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyingkirkan Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan akan diputuskan Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu.
Ia membabitkan keputusan hakim itu (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhi Rosmah, 74, hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah pada 1 September 2022 atas tiga kes rasuah bagi projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Jika Hakim, Mohd Zaini digugurkan daripada kes solar terbabit, prosiding perbicaraan semula dapat dijalankan di hadapan hakim perbicaraan yang baharu.
Sekiranya keputusan berbeza, isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu masih mempunyai peluang terakhir untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersidang bersama hakim-hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin dijadualkan membacakan keputusan pada jam 9 pagi.
Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan berkenaan dan mengenakan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun hukuman akan berjalan serentak, bermakna dia hanya akan menjalani hukuman penjara selama 10 tahun.
Dia juga didenda RM970 juta, dan jika gagal membayar denda itu, Rosmah boleh dihukum penjara selama 30 tahun.
Rosmah didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan Rosmah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Sebelum ini, peguam yang mewakili Rosmah memohon agar mahkamah terlebih dahulu mendengar rayuan anak guamnya berhubung keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menolak permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk menggugurkan dirinya daripada mendengar serta mengadili kes solar tersebut.
Permohonan untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini dibuat dua hari sebelum keputusan diumumkan, atas alasan penghakiman kes itu didakwa bocor.
Peguam juga memberitahu bahawa pasukan pembelaan telah memfailkan hujahan setebal 700 muka surat untuk rayuan itu.
Dalam prosiding berkenaan, peguam, Datuk Jagjit Singh, Datuk Akberdin Abdul Kader, Azrul Zulkifli Stork dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin hadir bagi mewakili Rosmah selaku pemohon sementara Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai sebagai responden.
Ringkasan AI
- Keputusan rayuan Rosmah Mansor untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan akan diputuskan Mahkamah Rayuan
- Rosmah didenda RM970 juta dan dihukum penjara 10 tahun atas tiga kes rasuah
- Jika Hakim Mohamed Zaini digugurkan prosiding perbicaraan semula dapat dijalankan dengan hakim baharu
- Rosmah masih mempunyai peluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan jika keputusan tidak memihak kepadanya
- Mahkamah Tinggi membenarkan Rosmah menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


