Australia larang media sosial untuk bawah 16 tahun, akaun akan dinyahaktifkan

CANBERRA - Syarikat media sosial akan dikehendaki mengesan dan menyahaktifkan akaun yang dipegang oleh kanak-kanak bawah umur apabila larangan bawah 16 tahun yang pertama di dunia oleh Australia berkuat kuasa pada Disember, umum kerajaan pada Selasa, lapor Xinhua.
Kerajaan Persekutuan pada Selasa mengeluarkan panduan kawal selia untuk syarikat teknologi bagi mematuhi larangan tersebut menjelang tarikh kuat kuasa pada 10 Disember.
Panduan itu menyatakan platform media sosial dijangka memberi tumpuan awal kepada pengesanan dan penyahaktifan akaun sedia ada yang dimiliki kanak-kanak bawah 16 tahun, serta mengambil langkah munasabah bagi menghalang mereka yang akaunnya ditutup daripada segera membuka akaun baharu.
Menurut panduan itu, platform tidak diwajibkan mengesahkan umur setiap pengguna atau menggunakan teknologi jaminan umur yang diwajibkan kerajaan. Bagaimanapun, mereka mesti menyediakan maklumat jelas dan mudah diakses mengenai cara pelaksanaan larangan tersebut dan mewujudkan proses untuk mengendalikan pertikaian.
Di bawah undang-undang larangan yang diluluskan Parlimen Persekutuan pada Disember 2024, syarikat yang gagal mengambil "langkah munasabah” untuk menguatkuasakan larangan boleh dikenakan denda sehingga A$49.5 juta (AS$33 juta).
Ketika mengumumkan garis panduan itu pada Selasa, Menteri Komunikasi, Anika Wells dan Pesuruhjaya eSafety Australia, Julie Inman Grant berkata, mereka tidak menjangkakan larangan itu berkesan sepenuhnya serta-merta.
"Kami tidak menjangka kesempurnaan di sini, undang-undang ini adalah yang pertama seumpamanya di dunia, tetapi kami menuntut perubahan bermakna melalui langkah munasabah yang akan membawa perubahan budaya dan kesan pencegahan yang mampu melindungi kanak-kanak,” kata Wells.
Grant pula berkata, kerajaan mengakui bahawa membangunkan sistem dan teknologi diperlukan akan mengambil masa, dan agensinya pada peringkat awal akan memberi tumpuan kepada kegagalan sistemik oleh platform dalam melaksanakan dasar serta proses yang ditetapkan.
Pada Ogos lalu, kerajaan mengumumkan hasil percubaan yang mendapati teknologi jaminan umur boleh digunakan secara berkesan untuk menguatkuasakan syarat kelayakan berkaitan umur. - Bernama - Xinhua
Ringkasan AI
- Syarikat media sosial akan dikehendaki mengesan dan menyahaktifkan akaun kanak-kanak bawah 16 tahun di Australia mulai Disember
- Kerajaan Persekutuan mengeluarkan panduan kawal selia untuk patuhi larangan sebelum 10 Disember
- Platform tidak perlu mengesahkan umur setiap pengguna tetapi mesti menyediakan maklumat pelaksanaan larangan secara jelas
- Syarikat yang gagal patuhi boleh dikenakan denda sehingga A$49.5 juta
- Larangan ini tidak dijangka berkesan segera tetapi bertujuan untuk perubahan bermakna demi perlindungan kanak-kanak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
