Remaja bawah umur ditahan, pandu kereta tanpa lesen

Tangkap layar video tular pada Selasa memaparkan adegan kejar-mengejar antara kereta polis dengan kenderaan dipandu suspek di Jalan Bandar Baru, Kuala Nerus.
Tangkap layar video tular pada Selasa memaparkan adegan kejar-mengejar antara kereta polis dengan kenderaan dipandu suspek di Jalan Bandar Baru, Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA NERUS –Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan polis selepas memandu kereta tanpa lesen dan bertindak melarikan diri ketika diarahkan berhenti dalam kejadian di Jalan Bandar Baru, di sini pada Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika dua anggota Unit Rondaan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu menjalankan tugas rondaan.

“Ketika melalui kawasan tersebut, anggota ternampak sebuah kereta Proton Wira berwarna kelabu dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota peronda kemudian menghampiri dan memberi isyarat berhenti untuk membuat pemeriksaan, namun suspek bertindak memecut laju dan cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, anggota bertindak mengejar kenderaan terbabit dengan beberapa kali memberi arahan berhenti menggunakan pembesar suara, namun remaja berkenaan tetap berdegil.

“Suspek turut memandu secara berbahaya termasuk menghimpit kereta peronda sehingga hampir melanggar kenderaan anggota bertugas.

“Bagi tujuan keselamatan, salah seorang anggota terpaksa mengeluarkan senjata api jenis HK MP5 sebagai amaran keras sebelum suspek akhirnya memperlahankan kenderaan dan berhenti,” katanya.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek merupakan pelajar sekolah, masih di bawah umur dan tidak memiliki lesen memandu.

“Suspek dipercayai memandu kereta milik abangnya tanpa kebenaran. Pemeriksaan ke atas badan dan kenderaan mendapati tiada barang larangan ditemui.

Artikel Berkaitan:

“Polis kemudian menghubungi keluarganya sebelum bapanya hadir ke lokasi tersebut dan suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Wan Mohd Zaki berkata, saman telah dikeluarkan ke atas suspek atas kesalahan memandu tanpa lesen selain diberi amaran serta nasihat agar kejadian sama tidak berulang.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Polis ingin menegaskan tindakan memandu tanpa lesen dan cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa adalah kesalahan serius yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak masing-masing selain mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial serta membuat sebarang spekulasi kerana tindakan boleh diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selasa lalu, tular video berdurasi 24 saat yang memaparkan adegan kejar-mengejar antara kereta polis dengan kenderaan dipandu remaja terbabit sehingga mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!