MCMC PRIME, NADI bantu pemulihan komunikasi di Sabah

Kenderaan mudah alih MCMC PRIME di lokasi bencana pada Isnin.
Kenderaan mudah alih MCMC PRIME di lokasi bencana pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terus memperkukuh usaha memastikan mangsa bencana di Sabah kekal terhubung melalui kemudahan komunikasi kecemasan MCMC PRIME dan perkhidmatan Internet komuniti Pusat Ekonomi Digital (NADI).

SKMM berkata, kenderaan mudah alih dikenali sebagai MCMC PRIME itu dilengkapi sokongan komunikasi dan telah digerakkan ke Kampung Cenderakasih dan Penampang bagi membantu pasukan penyelamat serta menyokong kerja-kerja pemulihan infrastruktur oleh Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB).

Menurutnya, sebanyak 131 NADI juga telah diaktifkan untuk menyediakan capaian Internet kepada masyarakat yang terkesan agar mereka kekal berhubung dengan keluarga dan pihak berkuasa.

“Setakat ini, sejumlah 266 menara telekomunikasi terjejas akibat gangguan bekalan elektrik, namun lebih separuh iaitu 147 menara sudah kembali beroperasi dengan kerja-kerja pemulihan giat dilaksanakan secara berperingkat bersama syarikat telekomunikasi.

“SKMM turut menubuhkan Task Force bersama syarikat telekomunikasi dan SESB bagi memantau keadaan semasa di tapak-tapak terkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

SKMM turut memaklumkan, mesyuarat berkala memberi tumpuan kepada penyelarasan pemulihan collector sites iaitu tapak utama yang mengawal liputan komunikasi di kawasan sekitarnya, manakala tapak kritikal dikenal pasti sebagai sasaran penting.

“Selain itu, penyaluran bekalan kuasa sementara melalui genset turut dilakukan bagi mempercepatkan proses pemulihan komunikasi,” menurut kenyataan itu.

SKMM menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi penyelamat, syarikat telekomunikasi serta pihak berkuasa negeri dan Persekutuan bagi memastikan komunikasi dan capaian Internet di kawasan terjejas dapat dipulihkan segera demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • SKMM memastikan mangsa bencana di Sabah kekal terhubung melalui kemudahan komunikasi kecemasan MCMC PRIME dan perkhidmatan Internet komuniti NADI
  • Kenderaan mudah alih MCMC PRIME telah digerakkan ke Kampung Cenderakasih dan Penampang untuk membantu pasukan penyelamat dan pemulihan infrastruktur
  • Sebanyak 131 NADI diaktifkan menyediakan capaian Internet kepada masyarakat yang terkesan
  • Sejumlah 266 menara telekomunikasi terjejas akibat gangguan bekalan elektrik, 147 menara sudah kembali beroperasi
  • SKMM membuat Task Force bersama syarikat telekomunikasi untuk mempercepatkan proses pemulihan komunikasi dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!