Jawatankuasa pengurusan bencana Sabah pergiat kerja menyelamat mangsa tanah runtuh

Hajiji menyampaikan bantuan kepada mangsa terjejas yang ditempatkan di PPS.
Hajiji menyampaikan bantuan kepada mangsa terjejas yang ditempatkan di PPS.
A
A
A

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah sedang melakukan tinjauan dan mempergiatkan kerja menyelamat mangsa yang terperangkap akibat tanah runtuh di beberapa lokasi di negeri ini.

Menurut kenyataan JPBN Sabah, hujan berterusan sejak 8 September lalu menyebabkan banjir dan tanah runtuh berlaku, dan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan untuk menempatkan mangsa terjejas.

“Ketika ini terdapat lapan daerah yang terkesan akibat bencana banjir dan tanah runtuh, dan daripada jumlah tersebut, enam daerah telah mengaktifkan PPS bagi menempatkan mangsa-mangsa.

“Sehingga kini, terdapat sebanyak 11 PPS yang aktif beroperasi dengan menempatkan 220 keluarga melibatkan seramai 863 mangsa,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Susulan bencana itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meninjau sendiri beberapa lokasi kejadian tanah runtuh.

“Ini termasuk Jalan Tun Fuad Stephen berhadapan bangunan Jesselton Quay, keadaan rumah tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang, serta dua PPS di Putatan iaitu PPR Sri Keramat dan PPS Sri Serigai.

“Terdapat empat lokasi yang terlibat dengan tanah runtuh sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa iaitu di Sarapung, Penampang; Kampung Marahang dan Kampung Mook, Papar; serta Kampung Cenderakasih di Kota Kinabalu,” katanya.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan sedang giat menjalankan pemantauan, penyaluran bantuan serta koordinasi logistik bagi memastikan keselamatan dan kebajikan semua mangsa terjamin.

“Semua agensi penyelamat dan tindak balas di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah sedang giat berusaha sepenuhnya bagi menangani bencana alam yang berlaku di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat juga lokasi tanah runtuh di laluan utama jalan raya yang memerlukan penelitian terperinci dan tindakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pemantauan berterusan.

“Kerajaan negeri juga mendapat kerjasama daripada kerajaan Persekutuan melalui NADMA untuk menyalurkan kewangan, tambahan Bailey Bridge serta bantuan lain yang diperlukan bagi memastikan bencana ini dapat ditangani dan diuruskan dengan baik,” katanya.

Dalam kenyataan sama, dimaklumkan bahawa kerajaan akan memberikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) warga tempatan yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) dan berpindah ke PPS. Bagi waris mangsa yang terlibat kematian pula akan diberikan Bantuan Wang Ihsan (Kematian) sebanyak RM10,000.

“Ini bagi meringankan beban mangsa yang terkesan.

“Pihak kerajaan juga akan memberikan bakul makanan kepada semua penduduk yang terjejas akibat bencana ini,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Sabah melalui JPBN sedang bertindak menyelamat mangsa tanah runtuh
  • Hujan berterusan sejak 8 September menyebabkan banjir dan tanah runtuh
  • Sebanyak 11 PPS diaktifkan untuk menempatkan 863 mangsa dari 220 keluarga
  • Empat lokasi tanah runtuh menyebabkan kehilangan nyawa di Sarapung, Penampang, Kampung Marahang, Papar, dan Kampung Cenderakasih
  • Kerajaan akan memberi Bantuan Wang Ihsan RM1,000 kepada Ketua Isi Rumah terjejas dan RM10,000 kepada waris mangsa kematian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!