Kerajaan digesa percepatkan pindaan Akta Penempatan Berkelompok untuk generasi baharu Felda bina rumah

Ahmad (depan, lima dari kiri) selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan KAF di Port Dickson pada Sabtu.
Ahmad (depan, lima dari kiri) selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan KAF di Port Dickson pada Sabtu.
A
A
A

PORT DICKSON - Pertubuhan Kami Anak Felda Malaysia (KAF) menggesa kerajaan mempercepatkan pindaan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) bagi membolehkan generasi baharu Felda membina rumah di atas tanah milik keluarga mereka tanpa halangan perundangan sedia ada.

Presidennya, Datuk Amizar Abu Adam berkata, kelewatan pelaksanaan pindaan akta itu akan terus menyukarkan urusan penempatan generasi peneroka terutamanya dalam soal perumahan dan pembangunan infrastruktur serta utiliti.

“Salah satu sebab utama GSA perlu dipinda ialah untuk penyesuaian semula akta sedia ada. Dalam banyak kes, keluarga peneroka hanya dibenarkan bina satu rumah atas tanah suku ekar walaupun mereka mempunyai lebih lima orang anak.

“Kalau pindaan GSA dibenarkan, tanah itu boleh dipecah lot. Setiap anak boleh bina rumah sendiri dan pasang elektrik dan air sendiri,” katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan KAF di sini pada Sabtu.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ujar Amizar yang juga ADUN Pelangai, cadangan pindaan GSA itu telah dikemukakan dan sesi libat urus juga telah dijalankan, namun jangkaan pembentangan di Parlimen hanya akan dilakukan pada 2026 dengan pelaksanaan pada 2027.

Ahmad (tengah) merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan KAF di Port Dickson pada Sabtu.
Ahmad (tengah) merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan KAF di Port Dickson pada Sabtu.

“Kami minta kerajaan percepatkan. Kalau boleh, bentangkan tahun depan supaya anak-anak Felda dapat bina rumah lebih awal kerana ia keperluan mendesak.

Artikel Berkaitan:

“Rumah di bandar sangat mahal, jadi jika dibenarkan bina di tanah sendiri. Apabila anak-anak balik dan buat rumah, penduduk bertambah, kuasa beli meningkat secara tidak langsung akan merancakkan lagi ekonomi Felda,” jelasnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memberitahu kerajaan akan melakukan pindaan terhadap akta tersebut antara lain bagi mendepani cabaran dihadapi dalam usaha menyediakan keperluan perumahan bagi generasi kedua, ketiga dan keempat peneroka.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan terdapat 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara dengan kira-kira 120,000 peneroka membabitkan pelbagai generasi.

 

 

Ringkasan AI

  • KAF menggesa kerajaan mempercepatkan pindaan GSA untuk generasi baharu Felda bina rumah tanpa halangan perundangan
  • Pindaan akta membolehkan tanah dibahagi lot dan setiap anak boleh bina rumah sendiri
  • Cadangan pindaan telah dikemukakan dengan jangkaan pembentangan di Parlimen pada 2026 dan pelaksanaan pada 2027
  • Jika dibenarkan, akan merancakkan ekonomi Felda kerana kuasa beli penduduk bertambah
  • Pindaan akta ini bertujuan mendepani cabaran penyediaan perumahan untuk generasi kedua hingga keempat peneroka Felda

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!