Pelajar Politeknik Seberang Perai nikmati capaian internet berkelajuan tinggi

PERMATANG PAUH- Pelajar Politeknik Seberang Perai kini menikmati capaian internet berkelajuan tinggi selepas Projek Wi-Fi Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dilaksanakan di kampus itu mula beroperasi sejak 14 Julai lalu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataannya berkata, projek di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) yang diselia oleh SKMM itu bertujuan memperkukuh jaringan digital di kampus IPTA seluruh negara.
Menurut SKMM, langkah tersebut selaras dengan komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan ketercapaian digital yang lebih menyeluruh dan stabil kepada semua lapisan masyarakat, khususnya warga kampus.
“Pihak pengurusan politeknik turut memberi maklum balas positif terhadap keberkesanan capaian ini yang dilihat mampu meningkatkan pengalaman pembelajaran digital, operasi pentadbiran serta penyelidikan di kampus,” katanya pada Isnin.
SKMM menambah, pihaknya akan terus memantau pelaksanaan projek ini bagi memastikan tahap kualiti perkhidmatan yang disediakan menepati keperluan semasa dan memberikan impak maksimum kepada warga kampus.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil telah meninjau pelaksanaan projek Wi-Fi tersebut, selain turut meluangkan masa bersama 70 pelajar politeknik yang menyertai Kempen Internet Selamat (KIS), termasuk peserta yang hadir secara dalam talian.
Kempen itu memberi tumpuan kepada empat isu utama yang sering memberi kesan kepada belia, iaitu penipuan dalam talian, buli siber, perkongsian maklumat peribadi secara berlebihan, serta penyebaran maklumat palsu.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan SKMM, Abdul Karim Fakir Ali.
Ringkasan AI
- Pelajar Politeknik Seberang Perai kini menikmati capaian internet berkelajuan tinggi selepas Projek Wi-Fi IPTA beroperasi sejak 14 Julai
- Projek di bawah Jalinan Digital Negara (Jendela) bertujuan memperkukuh jaringan digital di kampus IPTA seluruh negara
- Komitmen Kerajaan Madani untuk memastikan ketercapaian digital yang lebih menyeluruh dan stabil kepada semua lapisan masyarakat
- Pengurusan politeknik memberi maklum balas positif terhadap capaian internet yang meningkatkan pengalaman pembelajaran digital
- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil meninjau pelaksanaan projek Wi-Fi dan meluangkan masa bersama pelajar yang menyertai Kempen Internet Selamat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

