Enam unit rumah musnah dalam kebakaran di Flat Pinggiran Batu Caves

BATU CAVES - Enam unit rumah di tingkat lima Flat Pinggiran, Taman Pinggiran Batu Caves, musnah dalam kebakaran yang berlaku pada pagi Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian itu melibatkan tiga unit yang terbakar 100 peratus, satu unit terbakar 80 peratus, manakala dua unit lagi masing-masing terbakar 60 dan 40 peratus.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang tiba di lokasi pada jam 11.48 pagi.

“Operasi turut dibantu anggota dari BBP Sungai Buloh, Gombak Selatan dan Shah Alam membabitkan seramai 22 anggota serta lima jentera.
“Kebakaran melibatkan enam unit rumah flat berkeluasan kira-kira 35 x 25 kaki persegi setiap satu. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.11 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Ringkasan AI
- Enam unit rumah di tingkat lima Flat Pinggiran, Taman Pinggiran Batu Caves musnah dalam kebakaran pada Isnin
- Tiga unit rumah terbakar 100 peratus, satu unit 80 peratus, dua lagi masing-masing 60 dan 40 peratus
- Pihak bomba menerima panggilan kecemasan dan tiba pada jam 11.48 pagi
- Operasi pemadaman melibatkan 22 anggota bomba dan lima jentera dari empat balai
- Tiada mangsa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

