Piala FA: Kelantan TRW singkir KL City, Kuching City belasah DPMM

Pemain KL City FC, Kpah Sherman (dua dari kiri) diasak dua pemain pasukan Kelantan TRW FC pada perlawanan Piala FA 2025/2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini. - Foto: Bernama
Pemain KL City FC, Kpah Sherman (dua dari kiri) diasak dua pemain pasukan Kelantan TRW FC pada perlawanan Piala FA 2025/2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KELANTAN The Real Warriors FC (Kelantan TRW) menempah tiket ke peringkat suku akhir Piala FA 2025/2026 selepas menyingkirkan Kuala Lumpur (KL) City FC biarpun tewas 0-1 pada perlawanan kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Skuad bimbingan E Elavarasan itu mara dengan kemenangan agregat 3-2, sekali gus bakal membuat perhitungan menentangsama ada Sabah FC atau Bunga Raya FC.

Dalam pertembungan itu, pasukan tuan rumah yang memburu jaringan awal tidak bernasib baik apabila percubaan Muhammad Safawi Rasid dari jarak dekat berjaya diselamatkan penjaga gol Kelantan TRW Damyan Damyanov pada minit kelapan.

Enam minit kemudian, hasrat Muhammad Safawi menebus kekecewaannya tidak kesampaian apabila jaringannya dibatalkan selepas pengadil membuat semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Asakan berterusan KL City akhirnya membuahkan hasil pada babak kedua selepas Victor Ruiz menjaringkan gol pada minit ke-71 untuk mengurangkan defisit jaringan, namun ia masih belum cukup untuk mencipta kebangkitan apabila kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.

Aksi pemain Kuching City FC selepas menjaringkan gol ketika minit terakhir pada perlawanan Piala FA di Stadium Negeri malam ini. - Foto: Bernama
Aksi pemain Kuching City FC selepas menjaringkan gol ketika minit terakhir pada perlawanan Piala FA di Stadium Negeri malam ini. - Foto: Bernama

Di Sarawak, Kuching City FC melangkah bergaya ke suku akhir selepas menumpaskan DPMM FC 7-1 pada aksi di Stadium Negeri, dengan penyerang import dari Cameroon, Wanja Ronald Ngah, mencuri tumpuan menerusi hatrik.

Kuching City FC mara ke suku akhir dengan kemenangan agregat 9-4.

Artikel Berkaitan:

Skuad tuan rumah bermula cemerlang apabila Ngah hanya memerlukan dua minit untuk membuka jaringan, sebelum Danial Asri menambah gol kedua pada minit ke-13 hasil hantaran Ramadhan Saifullah.

DPMM semakin tertekan selepas kehilangan seorang pemain apabila pertahanan mereka, Jordan Rodrigues, dilayangkan kad merah pada minit ke-20 selepas mengasari James Okwuosa.

Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak yang menambah gol ketiga menerusi Ngah pada masa kecederaan babak pertama.

Bersambung di separuh masa kedua, Ngah melengkapkan hatrik pada minit ke-53, namun pasukan pelawat cuba bangkit menerusi jaringan Muhammad Ramadhan Sananta pada minit ke-58.

The Cats bagaimanapun pantas kembali menguasai permainan apabila Ramadhan Saifullah menjaringkan gol kelima pada minit ke-60 sebelum Danial Asri sekali lagi menemui sentuhan jaringan menerusi tandukan pada minit ke-77.

Pemain dari Timor-Leste, Joao Pedro menutup pesta gol Kuching City pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan bergaya 7-1, sekali gus mengesahkan tiket ke suku akhir bertemu Terengganu FC. - Bernama

Ringkasan AI

  • Kelantan TRW menempah tiket ke peringkat suku akhir Piala FA 2025/2026 walaupun tewas 0-1 kepada KL City FC tetapi mara dengan agregat 3-2
  • Victor Ruiz menjaringkan gol pada minit ke-71 untuk KL City FC namun tidak cukup untuk mereka membalikkan kedudukan
  • Kuching City FC melangkah ke suku akhir dengan kemenangan besar 7-1 menentang DPMM FC
  • Penyerang import Wanja Ronald Ngah dari Cameroon mencuri tumpuan dengan hatriknya untuk Kuching City FC
  • Kemenangan agregat 9-4 membolehkan Kuching City FC bertemu dengan Terengganu FC di suku akhir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!