Tolak isu perkauman, fokus pertahan UM dari elemen penswastaan

Liga Mahasiswa UM menyeru semua gerakan mahasiswa di universiti itu untuk sama-sama memberi perhatian serius terhadap isu kritikal yang berlaku di kampus - Gambar hiasan
Liga Mahasiswa UM menyeru semua gerakan mahasiswa di universiti itu untuk sama-sama memberi perhatian serius terhadap isu kritikal yang berlaku di kampus - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Liga Mahasiswa Universiti Malaya (UM) menolak sebarang cubaan menjadikan isu cadangan pemansuhan program matrikulasi sebagai polemik perkauman dan mahu perhatian diberikan kepada ancaman penswastaan dalam universiti tersebut.

Menurut kenyataan Liga Mahasiswa UM, tindakan segelintir pihak yang membawa naratif ke arah isu perkauman dianggap sebagai pemikiran sempit dan hanya memainkan sentimen kaum.

"Pendekatan seperti itu hanya akan memecahbelahkan mahasiswa serta mengalihkan fokus daripada isu sebenar yang patut diteliti bersama.

"Memandangkan isu telah menjadi perbualan nasional dan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) mengambil tanggungjawab memohon maaf, kami berpandangan tumpuan wajar diberikan kepada isu lebih besar iaitu cubaan memperluas elemen penswastaan dalam UM," katanya pada Ahad.

Liga Mahasiswa UM memberitahu, semua pihak maklum universiti awam dibiayai melalui subsidi kerajaan hasil daripada cukai rakyat.

Menurutnya, dana tersebut memastikan akses pendidikan tinggi serta pembangunan infrastruktur dapat dinikmati semua.

"Jika universiti awam mula mencari keuntungan, maka pendidikan akan menjadi suatu keistimewaan golongan kaya semata-mata.

"Akhirnya, golongan maha kaya akan mendapat akses lebih luas kepada pendidikan kerana mampu membayar manakala golongan miskin perlu berebut melalui saluran UPU," ujarnya.

Justeru, Liga Mahasiswa UM menyeru semua gerakan mahasiswa di universiti itu untuk sama-sama memberi perhatian serius terhadap isu kritikal yang berlaku di kampus.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Liga Mahasiswa Universiti Malaya menolak sebarang cubaan menjadikan isu pemansuhan program matrikulasi sebagai polemik perkauman
  • Tindakan membawa naratif ke arah isu perkauman dianggap sebagai pemikiran sempit
  • Fokus utama ialah terhadap ancaman penswastaan dalam universiti
  • Universiti awam dibiayai oleh subsidi kerajaan untuk memastikan akses pendidikan dapat dinikmati semua
  • Liga Mahasiswa UM menyeru gerakan mahasiswa untuk memberi perhatian serius terhadap isu penswastaan universiti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!