Restoran mamak guna logo halal tidak sah

A
A

KUALA TERENGGANU - Sebuah restoran mamak di bandar raya ini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana dipercayai mengelirukan pelanggan dengan mempamerkan logo halal.

Namun, restoran yang sudah hampir 10 tahun beroperasi itu sebenarnya tidak memiliki sijil halal dan dilaporkan tidak pernah memohon sijil halal daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Zulfamy Mat Udi berkata, hasil pemeriksaan yang dibuat, pihaknya menjumpai satu logo halal yang tertampal pada peti sejuk di bahagian dapur restoran terbabit.

“Tindakan mereka mempamerkan logo halal itu dikhuatiri boleh mengelirukan orang ramai, terutamanya pelanggan beragama Islam.

“Bagaimanapun, ayat-ayat al-Quran di premis tidak akan diturunkan memandangkan pemiliknya adalah orang Islam, bahan-bahannya halal dan pekerjanya juga beragama Islam. Kita juga menasihatkan agar premis ini membuat permohonan halal. Jika cukup syaratnya, tiada masalah dan dibenarkan,” katanya sewaktu operasi itu di sini, hari ini.

Operasi bersepadu itu turut disertai Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Pengurusan Halal JHEAT, Syed Nazmi Tuan Taufek dan kira-kira 30 penguat kuasa daripada KPDNHEP, JHEAT, Jabatan Kesihatan negeri serta Majlis Bandar raya Kuala Terengganu.

Jelas Zulfamy, kesalahan bagi memperdayakan atau mengelirukan boleh didakwa di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 melalui perenggan 4(1) Perintah Perihal (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi itu dibuat bagi melihat pematuhan terhadap perintah perihal dagangan dan penggunaan logo halal, susulan isu tular membabitkan restoran mempamerkan teks al-Quran, tetapi tidak mempunyai sijil pengesahan halal sebelum ini.

“Setakat ini, kita telah membuat pemeriksaan di tujuh premis restoran mamak di Terengganu bermula 10 Januari lalu. Secara keseluruhannya, terdapat 17 restoran mamak di negeri ini,” katanya.

Jelas beliau, sejak tahun 2015 sehingga kini, terdapat 4 kes yang sama, iaitu kesalahan memperdayakan atau mengelirukan, melibatkan kes halal di premis.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia