Rumah baharu jadi benteng selamat, anak-anak tidak lagi ketakutan - Nelayan

Mohd Zahari (tiga dari kanan) bersama keluarganya yang tersenyum menerima rumah baharu disampaikan oleh Hamdan (tiga dari kiri). - FOTO SINAR HARIAN/ ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Zahari (tiga dari kanan) bersama keluarganya yang tersenyum menerima rumah baharu disampaikan oleh Hamdan (tiga dari kiri). - FOTO SINAR HARIAN/ ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

BACHOK – Selepas lapan tahun menyewa rumah kayu usang yang hampir runtuh setiap kali ribut, sebuah keluarga nelayan bersama tiga anak kecil yang tinggal berhampiran pantai di Perupok di sini akhirnya memiliki rumah batu baharu yang menjadi benteng selamat untuk berlindung daripada cuaca buruk.

Rumah seluas 65 meter persegi itu dibina di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air, sekali gus memberi keselesaan yang sekian lama dinantikan oleh keluarga terbabit.

Penerima, Mohd Zahari Mat, 37, berkata, pengalaman tinggal di rumah sewa daif membuatkan dia dan isterinya sentiasa bimbang setiap kali hujan lebat melanda.

“Rumah lama sangat buruk, atap bocor, kayu reput dimakan anai-anai dan anak-anak selalu menangis ketakutan apabila berlaku ribut atau bunyi guruh.

“Alhamdulillah dengan rumah baharu ini kami lebih tenang dan anak-anak dapat tidur dengan selesa,” katanya selepas menerima kunci rumah yang disampaikan oleh Ketua Pengarah LKIM, Hamdan Mamat, di sini pada Sabtu.

Rumah batu baharu yang dibina melalui PKPN kepada nelayan.
- FOTO SINAR HARIAN/ ADILA SHARINNI WAHID, gambar kecil: Mohd Zahari
Rumah batu baharu yang dibina melalui PKPN kepada nelayan. - FOTO SINAR HARIAN/ ADILA SHARINNI WAHID, gambar kecil: Mohd Zahari

Bapa kepada tiga anak berusia tujuh bulan hingga tujuh tahun itu berkata, mereka sebelum ini menyewa rumah dengan bayaran RM150 sebulan, sebelum membeli sebidang tanah milik kakaknya secara ansuran untuk membina rumah di bawah PKPN.

“Saya menghidap penyakit rabun tetapi tetap perlu turun ke laut untuk menyara kehidupan kami.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang anak-anak gembira dapat bilik masing-masing dan lebih selamat ketika musim tengkujuh kerana rumah batu ini jauh lebih kukuh,” ujarnya.

Seorang lagi penerima, Mohamed Awang, 65, turut menzahirkan syukur apabila dapat berpindah daripada rumah pusaka ibunya yang berusia lebih 80 tahun dan beberapa kali rosak akibat ribut termasuk kejadian paling teruk pada Disember 2023 apabila keseluruhan atap rumah runtuh.

“Rumah asal ini sudah beberapa kali dibaiki dan rumah baharu membolehkan saya, isteri serta seorang lagi anak yang masih tinggal bersama kami tinggal dengan lebih selesa,” katanya.

Mohamed yang masih turun ke laut pada usia emas itu berkata, rumah baharu tersebut juga membolehkan anak-anak dan cucu pulang beraya dengan selamat walaupun ketika hujan.

Untuk rekod, program PKPN yang dilaksanakan sejak 2012 telah membantu membaik pulih 20,603 unit rumah nelayan dan membina 306 unit rumah baharu di seluruh negara.

Ringkasan AI

  • Selepas lapan tahun menyewa, keluarga nelayan di Bachok akhirnya memiliki rumah batu baru dibawah Projek Khas Perumahan Nelayan LKIM
  • Rumah baru seluas 65 meter persegi itu dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air
  • Mohd Zahari Mat, penerima rumah baru, sebelum ini bimbang setiap kali hujan lebat kerana keadaan rumah sewa yang daif
  • Mohamed Awang, penerima lain, berpindah dari rumah pusaka yang kerap rosak akibat ribut
  • Program PKPN telah membaikpulih 20,603 unit rumah nelayan dan membina 306 unit rumah baru sejak 2012

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!