Talian telefon lembab macam siput

SEJAK beberapa bulan kebelakangan ini, saya mendapati perkhidmatan sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka sangat teruk.
Sebagai pengguna, sudah tentu saya amat tidak berpuas hati dengan keadaan ini, sedangkan syarikat itu adalah yang terbesar di Malaysia.
Jadi, saya membuat carian menerusi ChatGPT dan bertanya mengenai kedudukan dan tahap perkhidmatan telekomunikasi Malaysia.
Jawapan diperoleh ialah Malaysia berada pada kedudukan yang agak baik dalam kalangan negara ASEAN terutama dari segi liputan mudah alih, kadar penembusan internet dan pelaksanaan rangkaian 5G.
Namun, terdapat perbezaan dalam beberapa aspek berbanding negara jiran. Malaysia telah mencapai liputan 5G melebihi 80 peratus kawasan berpenduduk pada akhir 2023, antara yang terpantas di ASEAN selepas Singapura.
Infrastruktur fiber optik juga semakin meluas melalui projek Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Singapura pula masih mendahului dari segi kelajuan internet dan ke-stabilan rangkaian, dengan liputan fiber serta 5G yang hampir menyeluruh.
Sementara, Thailand dan Vietnam yang merupakan negara pesat membangun telah meningkatkan capaian 5G serta fiber, dan kini menjadi pesaing utama Malaysia dari segi kelajuan serta penembusan jalur lebar.
Indonesia dan Filipina masih ketinggalan dari segi liputan kawasan luar bandar serta kestabilan rangkaian tetapi pelaburan sedang giat dijalankan.
Dari segi kelajuan internet menerusi laporan Speedtest Global Index (2024), Singapura dan Thailand kekal di tangga teratas ASEAN untuk kelajuan jalur lebar tetap.
Malaysia biasanya berada di kedudukan pertengahan atas dalam ASEAN, di hadapan Indonesia dan Filipina tetapi di bawah Singapura, Thailand dan Vietnam.
Bagi kadar penembusan internet dan rangkaian mudah alih, Malaysia mempunyai kadar penembusan internet melebihi 96 peratus, hampir setara dengan negara maju di rantau ini.
Penembusan mudah alih melebihi 130 peratus (lebih banyak talian berbanding penduduk), setanding dengan Singapura dan Thailand.
Jadi, kesimpulan yang diberikan oleh ChatGPT ialah Malaysia berada di tempat ketiga teratas ASEAN dari segi tahap telekomunikasi bersama Singapura dan Thailand.
Kekuatan utama Malaysia ialah pelaksanaan 5G yang pantas dan kadar penembusan internet yang tinggi.
Namun, dari segi kelajuan jalur lebar tetap dan kestabilan, Malaysia masih sedikit di belakang Singapura dan Thailand.
Malangnya, saya tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan oleh ChatGPT yang dikatakan mempunyai kecerdasan buatan (AI) yang pintar.
Kemampuan otak dan pemikiran saya yang terbatas ini mempunyai kesimpulan bertentangan dengan ChatGPT.
Saya tidak boleh terima jawapan AI ini kerana yang kena membayar bil bulanan tinggi setiap bulan itu ialah saya dan pengguna-pengguna lain di seluruh negara.
Syarikat telekomunikasi akan terus meminta saya membayar kepada mereka pada setiap bulan tanpa rasa bersalah langsung.
Saya 'mengintai' akaun media sosial mereka dan saya dapati ada komen-komen telah dipadam. Mungkin mereka sedar tentang 'dosa-dosa' yang mereka lakukan.
Jadi saya ingin ingatkanlah jika syarikat ini gagal untuk mematuhi Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) boleh menyebabkan mereka didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 53 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Kegagalan mematuhi kualiti perkhidmatan juga boleh dikenakan penalti kewangan hingga RM500,000 selaras dengan subseksyen 105(5) Akta 588.
Kalau beginilah keadaannya, mungkin kerajaan boleh pertimbangkan untuk naikkan lagi kadar hukuman. Atau, sepatutnya kerajaan mewajibkan syarikat telekomunikasi ini memberikan rebat kepada pengguna selagi kelemahan mereka tidak diatasi dengan segera.
Saya harap Menteri Telekomunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mungkin dapat pertimbangkan cadangan ini dan tidak sekadar mengulangi amaran kepada syarikat telekomunikasi.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
