Pembangunan fizikal, rohani rakyat Terengganu seimbang – Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU – Kedudukan Terengganu sebagai negeri paling bahagia di Malaysia mencerminkan suasana kehidupan harmoni dinikmati rakyat hasil keseimbangan pembangunan fizikal dan rohani.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kekuatan nilai kekeluargaan serta ikatan masyarakat berteraskan agama dan budaya telah membentuk kesejahteraan sosial yang menjadi kebanggaan negeri itu.
"Terima kasih kepada seluruh rakyat yang sentiasa memelihara ukhuwah, keharmonian dan kesejahteraan hidup bersama.
"Semoga nikmat ini terus berkekalan dan diberkati Allah SWT. Negeri cantik, budaya menarik, insya-ALLAH, rakyatnya baik-baik," katanya menerusi hantaran di laman sosial rasminya pada Jumaat.
Menurutnya, pencapaian itu diharap menjadi pemangkin untuk rakyat terus mengekalkan perpaduan dan keharmonian di Terengganu.
Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Terengganu muncul negeri paling bahagia dengan skor 8.64 dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024.
Indeks tersebut diukur melalui empat dimensi utama iaitu kesihatan, kesejahteraan keluarga, kehidupan komuniti serta persekitaran.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, Johor berada di tempat kedua dengan skor 8.08, diikuti Negeri Sembilan (8.01).
Dengan pencapaian tersebut, Terengganu dikategorikan sebagai negeri sangat bahagia sekali gus membuktikan tahap kesejahteraan sosial rakyatnya berada pada kedudukan terbaik di Malaysia.
Ringkasan AI
- Terengganu dinobat sebagai negeri paling bahagia di Malaysia
- Kekuatan nilai kekeluargaan dan ikatan masyarakat berasaskan agama dan budaya
- Pencapaian ini merupakan hasil keseimbangan pembangunan fizikal dan rohani
- Pencapaian Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024 dengan skor 8.64
- Menjadi pemangkin untuk rakyat Terengganu mengekalkan perpaduan dan keharmonian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
