Israel, India meterai perjanjian pelaburan dua hala

Menteri Kewangan India, Nirmala Sitharaman bersama rakan sejawatnya dari Israel, Bezalel Smotrich menandatangani perjanjian dua hala. (Foto: X/@FinMinIndia).
Menteri Kewangan India, Nirmala Sitharaman bersama rakan sejawatnya dari Israel, Bezalel Smotrich menandatangani perjanjian dua hala. (Foto: X/@FinMinIndia).
A
A
A

NEW DELHI – Israel dan India pada Isnin menandatangani Perjanjian Pelaburan Dua Hala di New Delhi bagi merancakkan aliran pelaburan bersama, memperkukuh kerjasama ekonomi dan meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich bersama rakan sejawatnya dari India, Nirmala Sitharaman dengan tujuan meningkatkan keyakinan pelabur serta melancarkan interaksi kewangan dua hala.

Kedua-dua negara bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam bidang inovasi, pembangunan infrastruktur, peraturan kewangan dan perdagangan perkhidmatan digital.

“Ini langkah strategik yang akan membuka pintu baharu kepada pelabur Israel dan India, mengukuhkan eksport Israel serta menyediakan kepastian dan kemudahan kepada perniagaan di kedua-dua negara untuk berkembang di pasaran yang paling pesat membangun di dunia. India ialah kuasa ekonomi yang sedang meningkat dan kerjasama ini adalah peluang besar buat Israel,” kata Smotrich.

Israel menyifatkan perjanjian ini sebagai yang pertama seumpamanya ditandatangani India dengan sebuah ekonomi berorientasikan Barat dalam kalangan anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Tahun lalu, India memeterai perjanjian sama dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Uzbekistan.

Delegasi Israel yang diketuai Smotrich turut dianggotai Ketua Ahli Ekonomi Kementerian Kewangan, Dr. Shmuel Abramzon; Ketua Akauntan, Yali Rothenberg; Ketua Pengarah, Ilan Rom; serta Pengerusi Pihak Berkuasa Sekuriti Israel, Seffy Singer.

Perjanjian tersebut memberikan perlindungan kepada pelabur melalui jaminan terhadap perubahan peraturan, keselamatan daripada rampasan aset, layanan adil tanpa diskriminasi serta forum timbang tara bebas bagi menyelesaikan pertikaian.

“Kerjasama dengan India menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan pelaburan kedua-dua negara. Gabungan kekuatan dalam infrastruktur, inovasi dan pembangunan pasaran kewangan adalah asas untuk memperluas peluang ekonomi serta memperkukuh hubungan strategik,” kata Rothenberg.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang lawatan tiga hari bermula Isnin, Smotrich dijadualkan bertemu Menteri Perdagangan dan Industri India, Piyush Goyal serta Menteri Perumahan dan Hal Ehwal Bandar, Manohar Lal Khattar.

Delegasi perniagaan Israel yang turut hadir akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin industri serta wakil komuniti Yahudi di India bagi mengukuhkan hubungan ekonomi dan kewangan.

Kementerian Kewangan Israel juga sedang menimbang untuk membuka pejabat perwakilan di India bagi menguatkan hubungan dengan kerajaan dan sektor swasta.

India kini merupakan negara paling ramai penduduk di dunia dengan ekonomi bernilai AS$3.9 trilion (RM16.46 trilion), sekali gus menjadi ekonomi kelima terbesar dunia.

India juga ialah rakan dagang kedua terbesar Israel di Asia selepas China. Pada 2024, jumlah perdagangan dua hala Israel–India mencecah AS$5 bilion (RM21.1 bilion), termasuk AS$2.5 bilion (RM10.55 bilion) eksport Israel, AS$1 bilion (RM4.22 bilion) perdagangan berlian, dan AS$1.5 bilion (RM6.33 bilion) import dari India ke Israel. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!