Dua beradik lemas: Bapa didakwa sebabkan kematian

SEREMBAN - Bapa kepada dua beradik yang lemas dalam insiden kereta menggelongsor ke dalam Sungai Linggi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan kematian.
Abdul Rahman Mahmud, 46, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 11.45 pagi pada 4 September di muara Sungai Linggi di Tanjung Agas, Port Dickson.
Dia dituduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, M Pusppa kemudian memohon tarikh sebutan semula kes kerana laporan forensik, kimia dan Puspakom masih belum siap.
Beliau juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana bimbang dia akan melarikan diri.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu untuk dibenarkan ikat jamin kerana ingin menziarahi kubur anak-anaknya.
Hakim Surita menolak permohonan jaminan dan menetapkan 10 November sebagai tarikh sebutan semula bagi penyerahan dokumen serta memberi masa kepada tertuduh untuk melantik peguam.
Sebelum ini, media melaporkan dua beradik berusia enam dan lapan tahun lemas selepas kereta dinaiki bersama bapa mereka dan seorang wanita menggelongsor ke dalam Sungai Linggi.
Difahamkan, ketika kejadian, kereta diparkir di tebing sungai dengan enjin dimatikan, manakala bapa mangsa keluar sebentar untuk merokok.
Ringkasan AI
- Bapa kepada dua beradik yang lemas dalam insiden kereta menggelongsor ke dalam Sungai Linggi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen
- Abdul Rahman Mahmud didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh
- Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda
- Tertuduh merayu untuk dibenarkan ikat jamin kerana ingin menziarahi kubur anak-anaknya tetapi permohonan ditolak
- Dua beradik berusia enam dan lapan tahun lemas selepas kereta yang dinaiki menggelongsor ke dalam Sungai Linggi ketika bapa mereka keluar sebentar untuk merokok
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

