Dua beradik lemas: Bapa, teman wanita disambung reman

PORT DICKSON – Tempoh reman bapa kepada dua kanak-kanak yang meninggal dunia akibat lemas selepas kereta dinaiki mereka menggelongsor masuk ke Sungai Linggi, Tanjung Agas di sini bersama teman wanitanya disambung lagi.
Majistret Mahkamah Port Dickson, Mohd Farez Rahman membenarkan permohonan tempoh reman ke atas lelaki berusia 46 tahun itu disambung lima hari manakala wanita berusia 41 tahun itu empat hari.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, tempoh reman terhadap suspek lelaki bermula dari 12 September sehingga 16 September manakala suspek wanita bermula 12 September sehingga 15 September.
"Permohonan sambung reman dibuat bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Sebelum ini Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, suspek ditahan selepas didapati memberi keterangan yang meragukan berhubung kejadian terbabit.
“Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk empat kes yang masih dikehendaki, manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Ujian air kencing terhadap kedua-dua mereka didapati negatif, namun semakan ke atas kereta yang digunakan didapati merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang dalam satu laporan polis di Nusa Bestari, Johor pada tahun 2022,” katanya.
Dua beradik berusia enam dan lapan tahun lemas selepas kereta yang dinaiki bersama bapa dan seorang wanita terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
Difahamkan ketika kejadian, kereta tersebut diparkir di tebing sungai dalam keadaan enjin dimatikan, sementara bapa mangsa keluar sebentar untuk merokok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

