143 pegawai bomba Johor obes wajib sertai program turun berat badan

JOHOR BAHRU – Seramai 143 pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor yang dikenal pasti mengalami masalah obesiti diwajibkan menyertai Program Pemulihan dan Pengukuhan (Wellness Hub) bagi meningkatkan tahap kecergasan.
Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir berkata, jumlah itu mewakili kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan pegawai di negeri ini dengan Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 30.
Katanya, program selama enam bulan bermula Jun lalu itu melibatkan latihan fizikal, kawalan pemakanan dan pemantauan jurulatih bertauliah dengan sasaran penurunan BMI sehingga tahap ideal menjelang hujung tahun.
“Isu berat badan perlu dilihat serius kerana ia memberi kesan kepada kesihatan dan keupayaan anggota ketika bertugas.
"Sasaran penurunan ditetapkan daripada BMI 30 hingga 40 kepada tahap ideal sekitar 29 menjelang hujung tahun dan seterusnya 28 pada tahun hadapan. Kebanyakan pegawai terbabit berusia antara 40 hingga 45 tahun ke atas.
"Jika gagal capai sasaran, pegawai terbabit tidak layak dipertimbangkan untuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang atau kenaikan pangkat,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan JBPM Johor di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya pada Khamis.
Menurut beliau, menerusi Program Wellness Hub, jurulatih terlatih akan memantau perkembangan peserta termasuk jenis senaman, komposisi lemak dan air dalam tubuh, selain panduan pemakanan.
"Program itu turut mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan penurunan berat badan dilakukan secara sihat dan berkesan.
"Isu berat badan ini perlu dilihat secara serius kerana JBPM adalah agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menyelamatkan masyarakat yang sedang berdepan pelbagai jenis bencana sama ada di darat, laut mahupun udara.
"Oleh itu adalah penting untuk pegawai dan anggota kita mempunyai tahap kesihatan fizikal yang baik untuk memudahkan mereka bertugas memastikan sebarang operasi dilaksana dapat dijayakan dengan sebaik-baiknya,"katanya.
Tahun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata bahawa syarat kenaikan pangkat mengikut tahap BMI bagi JBPM dibuat bagi memastikan ia selaras dengan polisi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

