Suspek tipu warga emas, lesapkan RM46,000 dikenal pasti

Laporan Sinar Harian pada 10 September lalu. Gambar kecil: Shazeli
Laporan Sinar Harian pada 10 September lalu. Gambar kecil: Shazeli
A
A
A

SHAH ALAM - Suspek dipercayai terlibat dalam kes pengeluaran wang milik seorang wanita warga emas di dua buah bank sekitar Rawang baru-baru ini telah dikenal pasti polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek berkenaan didapati menggunakan helah kononnya mahu menguruskan bantuan kerajaan sebelum memperdayakan mangsa berusia 70 tahun itu.

"Suspek terbabit dipercayai membawa mangsa dari Pahang ke Rawang sebelum mengarahkan pengeluaran wang berjumlah RM46,000 daripada akaun milik wanita berkenaan.

"Kita telah mengenal pasti suspek dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Khamis.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan wanita warga emas itu dilaporkan hilang pada 3 September lalu sebelum ditemui dalam keadaan selamat di Rawang keesokan harinya.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati suspek berjaya memperdayakan mangsa supaya menyerahkan buku bank serta dokumen peribadi sebelum membawanya ke dua bank untuk proses pengeluaran.

Ujar beliau, anak mangsa menemui ibunya pada pagi keesokan hari dalam keadaan selamat, namun mendapati kesemua wang simpanan di dalam akaun telah lesap.

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!