Warga emas hilang sehari, duit simpanan RM46,000 lesap

KUANTAN - Seorang wanita warga emas berusia 70-an berdepan detik cemas apabila dilaporkan hilang sehari sebelum ditemui semula dalam keadaan selamat di Rawang, Selangor.
Namun, kejadian itu bertukar malang apabila wang simpanan dalam dua akaun banknya berjumlah RM46,000 didapati lesap.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian berlaku pada 3 September lalu apabila mangsa dipengaruhi individu tidak dikenali yang mendakwa mahu menguruskan bantuan kerajaan untuk warga emas.
“Suspek telah meyakinkan mangsa supaya membawa buku bank dan dokumen berkaitan serta membawanya ke Rawang sebelum berlaku pengeluaran wang di dua bank.
“Anak mangsa menemui ibunya pada keesokan pagi dalam keadaan selamat, namun mendapati semua wang dalam akaun telah hilang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang anjuran Cawangan Khas Pahang di pekarangan IPK, di sini pada Rabu.
Yahaya memaklumkan, laporan polis dibuat di Balai Polis Rawang dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Kes ini dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh,” katanya.
Tambahnya, modus operandi suspek adalah dengan menyasarkan golongan warga emas sebelum mengiringi mereka membuat pengeluaran wang di bank.
Jelasnya, siasatan awal juga mendapati terdapat kes lain di Selangor dengan modus operandi sama yang dipercayai dilakukan suspek sama.
“Kita nasihatkan keluarga supaya sentiasa memantau pergerakan ibu bapa atau saudara-mara warga emas kerana kumpulan ini memang menjadikan mereka sebagai sasaran,” katanya.
Sementara itu, menjawab mengenai kes melarikan cip kasino bernilai RM3 juta daripada sebuah kasino di Genting Highlands, Bentong baru-baru ini, Yahaya berkata, pihaknya masih giat mengesan lelaki bernama Victor Lee bagi membantu siasatan kes tersebut.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, suspek menukar sebahagian cip tersebut kepada wang tunai sebelum meloloskan diri.
“Berdasarkan risikan, suspek dipercayai bersembunyi di sebuah negara di rantau Asia dan kita sedang mengumpul maklumat lanjut untuk menjejakinya,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek bertindak sendirian dan berkemungkinan cuba bertahan lebih lama di luar negara dengan dana yang dibawa.
“Kita masih meneliti sama ada terdapat individu lain yang membantu melarikan suspek dan siasatan dijalankan secara menyeluruh,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

