Bertindaklah sekarang lawan Israel

SERANGAN tanpa henti Israel ke atas Gaza bukan sekadar tragedi kemanusiaan tetapi penghinaan terbuka terhadap dunia Arab dan undang-undang antarabangsa.
Penduduk Gaza kini berdepan krisis kebuluran yang amat dahsyat, makanan dan ubat-ubatan semakin pupus, manakala ribuan kanak-kanak menanggung derita tanpa perlindungan.
Perdana Menteri Israel pula dengan angkuh memberi amaran agar rakyat Palestin meninggalkan Gaza, seolah-olah bumi itu bukan tanah air mereka. Tindakan ini jelas merupakan percubaan pelupusan etnik secara terang-terangan.
Lebih memburukkan keadaan, Israel melancarkan serangan ke atas Doha dengan menyasarkan kediaman pemimpin Biro Politik Hamas.
Serangan ini bukan sahaja menyalahi undang-undang antarabangsa tetapi juga merupakan cabaran langsung terhadap kedaulatan Qatar dan kestabilan rantau Arab.
Pada masa sama, misi bantuan antarabangsa Sumud Flotilla turut diserang dron, menggambarkan bahawa Israel tidak gentar mencabar komuniti global, apatah lagi dunia Arab.
Dalam keadaan ini, negara Arab tidak boleh lagi bersembunyi di sebalik kecaman retorik dan kenyataan diplomatik yang tidak membawa makna.
Setiap detik kelewatan hanya menambah penderitaan rakyat Gaza dan menguatkan keyakinan Israel bahawa mereka boleh bertindak sesuka hati tanpa balasan.
Sudah tiba masanya tindakan politik, ekonomi dan ketenteraan yang lebih berani digerakkan. Hubungan diplomatik dengan Israel wajar ditamatkan, kerjasama perdagangan disekat dan kekuatan minyak yang menjadi nadi ekonomi dunia digunakan sebagai senjata tekanan.
Tanpa langkah-langkah tegas, setiap seruan solidariti hanyalah sandiwara yang tidak memberi apa-apa makna kepada rakyat Palestin yang terus dihujani bom.
Dunia sedang menilai, sama ada negara Arab benar-benar serius mempertahankan Palestin atau sekadar menjadi pemerhati pasif dalam pembunuhan beramai-ramai ini.
Palestin bukan sekadar isu bangsa, ia adalah ujian maruah umat Islam dan kredibiliti negara-negara Arab.
Jika mereka terus berdiam diri, sejarah akan menulis kelemahan itu sebagai pengkhianatan terhadap Gaza dan terhadap keadilan sejagat.
Inilah masanya untuk bertindak, bukan esok, bukan lusa tetapi sekarang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
