[VIDEO] Serangan Israel ke atas Qatar: Malaysia sedia hubungi pemimpin OIC
PUTRAJAYA – Malaysia sedia menghubungi pemimpin Islam lain bagi mempertimbangkan keperluan mengadakan mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) susulan serangan terbaharu Israel ke atas Qatar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebiadaban rejim itu sudah melampaui batas apabila berani menyerang mana-mana negara tanpa alasan munasabah.

“Jika perlu, saya akan hubungi Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani termasuk beberapa pemimpin Islam lain untuk meneliti sama ada wajar mesyuarat tergempar diadakan.
“Kebiadaban Israel ini keterlaluan, mereka boleh menyerang mana-mana negara atas apa alasan sekali pun.
Kita sudah pun mengecam keras tindakan tersebut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan Ke-9, di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, tindakan Israel yang menyerang tanpa sebarang tindakan balas daripada kuasa besar membuktikan sistem dunia yang sedia ada telah gagal.
“Ini jenayah terang-terangan tetapi dunia membiarkan ia berlaku. Apabila satu negara boleh menyerang negara lain sesuka hati tanpa sebarang tindakan, ia merosakkan seluruh sistem dan tatanan antarabangsa,” tegasnya.
Anwar menegaskan Malaysia konsisten dengan pendirian untuk membela Palestin dan menolak sebarang bentuk keganasan Israel.
Sebelum ini, Kementerian Luar Negeri Qatar mengesahkan kejadian letupan yang berlaku di Legtaifiya, Doha adalah serangan rejim Israel ke atas pejabat pemimpin Hamas.
Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Doha mengesahkan tiada rakyat negara ini dilaporkan terkesan susulan serangan udara Zionis itu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, semua rakyat Malaysia di Qatar dinasihatkan supaya terus berwaspada serta menjauhi lokasi kejadian bagi mengelak sebarang risiko.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

