Di sebalik teruja Fattah nak kahwin, jangan lupakan Sumud Flotilla

Antara kapal Global Sumud Flotilla yang terlibat dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui jalan laut.
Antara kapal Global Sumud Flotilla yang terlibat dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui jalan laut.
A
A
A

SEJAK Isnin lalu, boleh dikatakan satu negara seolah-olah sibuk bercerita tentang hero Malaya, Fattah Amin yang bakal menamatkan zaman dudanya dengan Amira Othman pada 14 September ini.

Wah, bukan main riuh lagi di media sosial, siap ada yang jadi tukang kira berapa hari lagi nak akad nikah.

Maklumlah, Fattah ini idola ramai, jadi bila dia umum nak kahwin, terus jadi bualan hangat. Merak Jalanan pun tumpang seronoklah, orang kata cinta bersemi sampai ke jinjang pelamin, siapa yang tak suka dengar cerita bahagia?

Pun begitu, di sebalik kegembiraan peminat-peminat meraikan kisah cinta selebriti, jangan pula kita alpa dan abaikan dengan cerita yang lebih besar iaitu kisah perjuangan anak-anak Malaysia dan gerakan solidariti dunia dalam misi Sumud Flotilla.

Ya, ketika kita sibuk scroll gambar Fattah dan Amira, ada rakyat kita yang sedang berlayar di tengah lautan, membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza yang sedang berdepan kebuluran dan serangan tanpa henti.

Malangnya, dua kali dalam tempoh dua hari berturut-turut, kapal mereka pula jadi sasaran serangan dron. Mujur semua selamat, tetapi detik cemas itu mengingatkan kita bahawa perjuangan untuk Palestin tidak pernah mudah.

Merak Jalanan bukannya nak rosakkan mood orang tengah ‘bunga-bunga cinta’ tetapi hidup ini bukan hanya tentang kisah romantis artis. Ada kisah lain yang perlukan perhatian malah lebih berat nilainya.

Kita boleh saja teruja dengan berita kahwin tetapi dalam masa sama biarlah doa dan sokongan kita terus mengalir kepada mereka yang berjuang di perairan antarabangsa.

Pendek kata, meraikan cinta itu indah tetapi menyokong perjuangan kemanusiaan itu lebih bermakna. Jadi, sambil kita menanti hari bahagia Fattah dan Amira, jangan lupa titip doa buat wira-wira kita yang berjuang dalam misi Sumud Flotilla.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!